March 26, 2016

Empat sekeluarga nyaris maut

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan pembaca

Seremban: Empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori di Kilometer 262 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran Plaza Tol Seremban, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 7 pagi itu, pemandu wanita berusia 40-an dikatakan melanggar belakang lori dan tersepit di tempat duduk pemandu manakala anak lelaki berusia lima tahun dan anak perempuan berusia dua tahun serta ibu wanita itu berusia 60-an yang duduk di bahagian penumpang belakang cedera ringan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Munawir Md Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.12 pagi sebelum sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba 7.20 pagi, ketiga-tiga mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang sudah dikeluarkan orang awam.

"Bomba mengambil masa 20 minit mengeluarkan pemandu yang tersepit. Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun, pemandu lori yang membawa muatan bata tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

myMetro 22 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment