March 26, 2016

Elak kereta, langgar pokok

FOTO Muhammad Hatim Ab Manan

Melaka: Sekurang-kurangnya sembilan cedera dalam kemalangan membabitkan bas ekspres, kereta dan van di persimpangan Pusat Kenderaan Berat di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), 8 malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila bas ekspres yang membawa 18 penumpang itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Melaka Sentral.

Bas berkenaan dikatakan gagal mengelak daripada merempuh kereta yang tiba-tiba memasuki persimpangan terbabit.

Menurut sumber, bas terbabit dari arah Ayer Keroh manakala kereta yang dipandu wanita 30-an dari arah bertentangan dipercayai menuju ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil PBK II, Mohd Wabil Md Dali, berkata mangsa yang cedera adalah pemandu wanita kereta terbabit dan lapan penumpang bas iaitu empat lelaki, wanita (dua) dan masing-masing satu kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Katanya, pemandu bas dan van tidak cedera.

"Kita berjaya mengeluarkan mangsa iaitu pemandu wanita kereta terbabit yang tersepit dalam dua minit. Wanita terbabit bersama lapan lagi penumpang bas cedera pada tangan dan muka.

"Semua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka menggunakan dua ambulans hospital dan EMRS," katanya.

myMetro 22 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment