March 16, 2016

Bunyi letupan selamatkan nyawa

Nor Eza dan ibunya, Norhasimah Othman, 43, hanya mampu melihat keadaan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran.

SEGARI - Bunyi letupan kuat berjaya menyelamatkan nyawa dua beradik apabila rumah mereka di Kampung Batu 3, di sini, terbakar petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, anak sulung dari tujuh beradik, Siti Nor Eza Shahimi, 23, baru sahaja selesai mandi dan terkejut mendengar bunyi letupan kuat sebelum disusuli bau hangit.

Menurutnya, rasa tidak sedap hati mendorongnya bersama adik, Muhamad Shamsul Nizam, 19, mencari punca letupan berkenaan sebelum melihat api marak dari sebuah bilik di bahagian dapur.

“Bila pergi ke bahagian dapur, baru kami nampak api dari arah bilik tidur ibu dan ayah sedang marak.

“Saya terus masuk ke bilik mengambil telefon dan segera menelefon bomba sementara adik saya menjerit meminta saya keluar dengan segera,” katanya.

Dia berkata, keadaan api yang marak dengan cepat menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.

Siti Nor Eza berkata, dia yang panik segera menjerit meminta tolong dari jiran, namun mereka juga tidak dapat melakukan apa-apa kerana api terlalu cepat marak.

“Saya bersyukur kerana tidak ada sesiapa yang cedera walaupun kami hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja,” katanya.

Ketika kejadian, ibu bapa termasuk adiknya yang lain tiada di rumah kerana keluar makan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian pada jam 6.32 petang.

“Apabila tiba, kami dapati sebuah rumah sedang terbakar sebanyak 60 peratus.

“Kami berjaya mengawal kebakaran pada jam 7.09 malam dan rumah itu musnah terbakar sebanyak 75 peratus,” katanya.

Katanya, operasi itu disertai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis serta dibantu enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan.

“Tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku dalam kejadian ini dan punca serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian 15 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment