March 16, 2016

Dua penunggang motosikal maut

Antara motosikal yang terlibat dalam kemalangan.

YAN - Dua remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Simpang Empat Titi Hayun, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian, kira-kira jam 5 petang, mangsa, Mohamad Razi Adnan, 17, dari Jalan Jeniang, Gurun meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala seorang lagi remaja, Mohamad Sharul Fitri Juhari, 16, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Yan.

Sementara pemandu kereta dan juga dua lagi penunggang motosikal lain yang terbabit dalam kemalangan itu turut cedera parah.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, kejadian itu melibatkan empat penunggang motosikal yang dalam perjalanan dari Batu Hampar ke Perigi dengan sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.

Menurutnya, wanita berusia 41 tahun itu dari Sungai Udang Atas di sini dan dalam perjalanan dari pekan Yan hendak menuju ke Titi Hayun.

“Apabila sampai di tempat kejadian di Simpang Empat Titi Hayun, kereta yang dipandu wanita terbabit bertembung dengan empat motosikal berkenaan.

“Pertembungan itu mengakibatkan dua daripada empat penunggang motosikal terbabit maut dan dua lagi cedera parah,” katanya.

Halim berkata, beliau minta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

Mayat Mohamad Razi dihantar ke Unit Forensik Hospital Yan untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar Harian 15 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment