March 31, 2016

Bomba selamatkan sembilan kereta daripada hangus

Api merebak di bengkel berkenaan di Kampung Parit, malam kelmarin.

KUALA PILAH – Kepantasan sepasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kebakaran berjaya menyelamatkan sembilan kereta di tiga unit premis bengkel, kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Mohd Niza Hamzah berkata, kebakaran berlaku kira-kira 10.40 malam di sebuah bengkel kereta di Batu 1 Jalan Seremban Lama, Kampung Parit, di sini,

Ketika kejadian, katanya, pemilik bengkel seorang lelaki  berusia 60-an berada di rumahnya di Taman Pilah Jaya, dekat sini.

“Sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan dari orang awam pada jam 10.44 malam.

“Setibanya di lokasi, kita dapati api mula merebak di tempat longgokan tayar lama serta kawasan menyimpan barang-barang terpakai di belakang bengkel.

“Turut musnah sebuah kereta Proton Saga model lama yang diletakkan berhampiran timbunan barang-barang terpakai ini. Kita ambil masa kira-kira sepuluh minit kawal kebakaran,” katanya.

Menurut Mohd Niza, pemilik bengkal bernasib baik kerana pasukan bomba tiba dengan pantas kerana jarak balai bomba dengan lokasi kebakaran tidak jauh.

“Walaupun kebakaran dianggarkan hanya tiga puluh peratus sahaja, yang penting kita berjaya mengawal api dari terus merebak dan memusnahkan sembilan kereta yang disimpan di bengkel ini termasuk tiga buah premis, kedai menyimpan alat ganti dan beberapa buah rumah penduduk.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sinar Harian 31 Mac 2016

0 comments:

Post a Comment