March 20, 2016

Bimbang nasib anak

MUAMNAH yang patah kaki kiri bersama lima anaknya.

Gombak: Sudahlah berstatus ibu tunggal dan memiliki lima anak, dalam sekelip mata pendapatan RM1,000 setiap bulan yang sering diperoleh hasil membersih rumah orang dan mengasuh budak hilang akibat kemalangan jalan raya pada 9 Mac lalu.

Bagi Muamnah Md Yusof, 37, peristiwa itu sangat memeritkan dan memberi beban kepada dirinya untuk menyara lima anak berusia dua hingga 11 tahun.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan kini dan kerana kemalangan itu, saya sudah tidak boleh berjalan serta buat kerja. Kaki sebelah kiri saya patah dan perlukan pembedahan kali kedua kerana doktor maklumkan banyak tulang patah.

“Paling saya takut adalah nasib anak-anak. Siapa nak jaga mereka? Saya tidak mahu harap ibu yang sudah tua. Dia juga sudah tidak mampu untuk buat apa-apa,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 8, di sini, semalam.

Kemalangan pada jam 7.30 pagi di Taman Sri Gombak, di sini mengakibatkan kaki kiri Muamnah patah akibat dihempap motosikal yang ditunggangnya selepas jatuh ke jalan akibat berlanggar dengan sebuah kereta.

Paling menyedihkan kejadian itu berlaku ketika dalam perjalanan semula ke rumah selepas menghantar anak keduanya yang autisme berusia 10 tahun.

Kata Muamnah, dia akan menjalani pembedahan kali kedua selepas rawatan susulan pada 27 April ini di Hospital Selayang.

“Kos itu yang membuatkan fikiran saya buntu. Dari mana puncanya nanti. Memang saya ada dapat bantuan zakat tapi ia belum tentu cukup jika saya sentiasa berulang alik ke klinik.

“Itu belum ditambah lagi dengan kos untuk biaya persekolahan anak. Banyak benda yang perlu saya korbankan,” katanya.

Dia yang kini tinggal bersama ibunya di sini selepas lebih setahun ditinggal suami turut menyatakan kerisauan terhadap anaknya yang menghidap penyakit autisme.

“Anak saya Muhammad Ilyas Abdul Rahim, 10, antara kerisauan saya. Saya sering menghantarnya ke sekolah pendidikan khas setiap pagi tapi sekarang selepas kemalangan, jenuh untuk saya fikir siapa pula yang mengganti tempat itu.

“Hendak harap ibu, dia tidak boleh bawa motosikal. Memang hantar anak ke sekolah adalah rutin harian sebelum membuat kerja kemas rumah orang atau mengasuh budak-budak,” katanya.

Mengimbas kembali kenangan setahun lalu, kata Muamnah, dia ditinggal suami ketika dalam pantang anak bongsu yang kini berusia dua tahun.

“Itu kenangan pahit saya. Saya sudah tidak mahu fikir kerana kehidupan perlu diteruskan.

“Saya pernah jatuh sakit selama setahun dan mengabaikan urusan terhadap anak-anak dan emosi juga terganggu,” katanya.

Bagi yang mahu menghulurkan bantuan, boleh menghubungi ibunya, Salmah Abd Rashid di talian 017-2509415 atau memberi sumbangan terus ke akaun Muamnah Md Yusof, 7000059075 (CIMB BANK).

myMetro 19 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment