March 20, 2016

'Mereka anak syurga saya'

NOOR Azuralizma bersama Muhamad Qamarul Haikal (kanan) dan Muhamad Shaqir di rumah mereka di Kampung Berangan Hujung, Tumpat.

Tumpat: Mempunyai seorang anak menghidap penyakit saraf, Cerebral Palsy (CP) cukup untuk menguji ketabahan ibu bapa berikutan kanak-kanak itu memerlukan penjagaan khusus.

Namun, bagi Noor Azuralizma Salleh@Ibrahim, 33, dan suami Mohd Asri Awang, 46, dari Kampung Berangan Hujung di sini, mereka cukup tabah dan sabar apabila perlu menguruskan dua anak yang menderita penyakit itu.

Menurut mereka, kedua-dua anaknya tetap ditatang sebaik mungkin dan dijaga rapi seperti tiga lagi adik-beradiknya yang normal.

Noor Azuralizma berkata, dia mempunyai impian melihat Muhamad Qamarul Haikal Mohd Asri, 12, dan Muhamad Shaqir, 11, membesar seperti kanak-kanak lain dan bersekolah.

“Namun, saya sedar hakikat betapa anak sulung dan kedua kami ditakdirkan Allah hanya mampu berbaring atas tilam dan tidak berdaya menggerakkan anggota badan, sebaliknya hanya menggunakan isyarat mata untuk berbicara.

“Alhamdulillah, walaupun begitu keadaan mereka, saya dan suami tetap bersyukur. Mereka anak syurga saya yang dapat mendoakan saya nanti.

“Memang ketika melahirkan Haikal, saya teruja kerana dia anak sulung dan berharap dia sihat, apatah lagi ketika itu tiada tanda dia menghidap penyakit. Perasaan tidak enak lama- kelamaan bertambah apabila pada usia lapan bulan dia tidak meniarap dan bercakap.

“Saya mula merasakan perkembangannya tidak normal bagi bayi seusia lalu membawanya ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) berhampiran.

“Selepas diperiksa, kakitangan PDK menyarankan saya membawa Haikal ke Hospital Tumpat sebelum dia dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Keadaan sama berlaku kepada anak keduanya, Muhamad Shaqir apabila mula menunjukkan perubahan sebagai bayi tidak sihat ketika berusia empat bulan.

Noor Azuralizma berkata, keadaan Muhamad Shaqir yang lembik dan tidak mampu menggerakkan anggota badan menguatkan tanggapannya dan suami bahawa anak itu juga mengikut jejak abangnya yang menghidap CP.

Katanya, sehingga kini, kedua-dua mereka bergantung sepenuhnya kepadanya dan suami yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah untuk pengurusan diri.

“Saya pula menghidap buasir kronik sejak tujuh tahun lalu dan sering mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.

“Memang saya akui apabila penyakit menyerang, urusan mengangkat dan menguruskan mereka terbatas, namun saya tetap usahakan sedaya mungkin kerana mereka tanggungjawab saya,” katanya yang turut mempunyai tiga lagi anak berusia satu, enam dan sembilan tahun.

Menurutnya, kedua-dua anak istimewanya itu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM300 yang cukup untuk membeli lampin pakai buang, susu dan ubat.

Orang ramai yang berhasrat membantu pasangan itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Nor Azuralizma iaitu 153092078168.

myMetro 19 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment