March 20, 2016

Berat mata memandang...

MOHD Zahari dan isterinya, Zarina Abdullah sentiasa berusaha mengubati penyakit Nor Fazilah.

Ipoh: “Sudah bermacam usaha yang saya lakukan termasuk mendapatkan khidmat bomoh, dukun, pawang dan pengamal perubatan Islam untuk menyembuhkan penyakit anak perempuan saya,” kata Mohd Zahari Mohd Kassim, 40.

Mohd Zahari, bapa kepada Nor Fazilah, 34, yang menderita penyakit misteri sehingga mengakibatkan kedua-dua kakinya membesar secara luar biasa sejak 11 tahun lalu.

Katanya, bagi mengubati penyakit anaknya itu, dia sudah membelanjakan lebih RM30,000 dan rawatan di hospital juga tidak dapat mengubati penyakit misteri anak keduanya itu.

Menurutnya, ramai pengamal perubatan tradisional yang menawarkan diri untuk merawat anaknya tetapi kebanyakan daripada mereka hanya mengambil kesempatan atas kesusahan yang dialaminya itu dan penyakit anaknya itu masih tidak berjaya disembuhkan sehingga kini.

“Seorang daripada mereka pernah mengenakan bayaran RM1,000 untuk sekali rawatan dan memerlukan seekor kambing untuk disembelih yang kononnya untuk menyembuhkan anak saya, tetapi keadaannya menjadi lebih teruk beberapa hari selepas rawatan itu.

“Selepas itu, pengamal perubatan tradisional turut melakukan rawatan susulan, tetapi saya tidak membenarkannya kerana dia hanya mahu menjadikan anak saya sebagai bahan ujian untuk ilmu yang baru dipelajarinya,” katanya ketika di temui di rumahnya di Taman Chepor Damai, di sini.

Tambah Mohd Zahari lagi, seorang pengamal perubatan yang ditemuinya memberitahu anaknya itu terpijak sesuatu barang yang mempunyai kaitan dengan alam mistik semasa anaknya ke Cameron Highlands kira-kira 11 tahun lalu.

Katanya, dia tidak terlalu mempercayai apa yang diperkatakan oleh mereka dan hanya berharap penyakit anaknya dapat disembuhkan.

“Saya reda dan menganggap penyakit ini ujian yang diberikan Allah buat keluarga serta sentiasa menasihatkan Nor Fazilah supaya banyak bersabar dalam menghadapi ujian ini.

“Sebagai bapa, saya sentiasa bersedia untuk berkorban apa saja bagi menyembuhkan penyakit anak saya,” katanya yang juga bekas pemandu ambulans di hospital kerajaan di sini.

Mohd Zahari berkata, dia dan isterinya banyak menghabiskan masa di rumah kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku ke atas anak perempuannya itu.

“Ketika ini, kami menggunakan khidmat seorang pengamal perubatan tradisional dari Kuala Kangsar bagi mengubati penyakit anak kami dan keadaannya menunjukkan perubahan yang agak baik,” katanya.

myMetro 19 Mac 2016



0 comments:

Post a Comment