February 3, 2016

Wanita maut kereta bertembung treler

Treler yang terbabit kemalangan dengan kereta. FOTO Shamsudin Husin

Chukai: Wanita berusia 55 tahun maut, manakala tiga ahli keluarganya cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan treler di Jalan Jerangau-Jabor, Cheneh, 9.20 malam tadi.

Aishah Ishak parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak Aishah, Yahya Khalid, 29, pemandu Proton Persona bersama isteri dan anaknya yang cedera dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Pemandu dan kelindan treler yang membawa muatan kayu berusia lingkungan 20-an dan 40-an patah kaki dan turut dihantar ke Hospital Kemaman.

Kejadian dipercayai berlaku apabila treler dari arah Jabor terbabas dan masuk ke laluan kereta sebelum bertembung.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

myMetro 3 Februari 2016


Maut kemalangan selepas makan malam dengan keluarga

KEMAMAN - Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama dua ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 162.4 Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Ladang Rakyat di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam itu, mangsa Aisyah Ishak, 55, yang berada di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah.

Mangsa yang menaiki kereta Proton Persona dipandu anaknya bersama menantu dalam perjalanan pulang dari Bandar Balok Kuantan menuju ke rumahnya di Bandar Cheneh Baru, di sini selepas makan malam.

Kereta dipandu anak lelakinya, Mohd Yahya Talib, 28, bertembung dengan treler yang dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Susulan kejadian itu, Mohd Yahya turut cedera dan isterinya, Hasnah Abd Rahman, 28, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan patah paha kiri manakala pemandu lori berusia 29 tahun berkenaan patah pinggul.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman untuk dibedah siasat manakala semua mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama. - Bernama

Sinar Harian 3 Februari 2016 



0 comments:

Post a Comment