February 3, 2016

Bapa 12 anak buntu ubati penyakit misteri

Suzana menunjukkan bahagian leher suami yang berlubang di rumahnya di Jalan Bukit Acheh, Kampung Tengah, Kuala Krai.

KUALA KRAI - Penyakit misteri dihidapi seorang lelaki di Jalan Acheh, Kampung Tengah, dekat sini, menyebabkan dia hanya mampu bersandar pada sofa termasuk ketika tidur.

Anuar Hamid, 48, tidak mengetahui jenis penyakit dihidapnya sehingga kini meskipun telah beberapa kali mendapatkan rawatan di hospital.

Bapa kepada 12 anak itu pada awalnya dikesan mengalami masalah ruam di bahagian dalam mulut sekitar Oktober 2014 ketika bekerja dan menyewa rumah di Batu Jong.

Selepas itu, bahagian kiri leher pula didapati berlubang kecil sebelum saiznya membesar sehari ke sehari.

Isterinya, Suzana Ibrahim, 38, berkata, masalah itu menjejaskan kesihatan suami apabila dia tidak dapat makan dan minum.

Menurutnya, suaminya kerap mengadu lapar dan haus, tetapi dia tidak dapat membantu.

“Saya telah bawa suami ke Hospital Kuala Krai, tetapi doktor tidak dapat mengesahkan penyakitnya dan mengesyaki suami menghidap kanser.

“Sehingga kini saya buntu kerana suami tidak dapat makan, malah tidak tahu apa penyakit dihidapinya,” katanya yang tidak bekerja kerana menjaga suami sepenuh masa.

Suzana berkata, dia bertambah bimbang apabila saiz lubang di leher suaminya itu makin membesar.

"Tengah hari kelmarin, suami dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kuala Krai selepas tidak sedarkan dir," katanya.

Suzana berkata, mereka terpaksa berpindah ke rumah adik iparnya di Jalan Acheh untuk berjimat selain tidak mampu membayar sewa rumah berjumlah RM200 sebulan.

“Kami kini hanya mendapat bantuan kewangan hasil ihsan orang ramai yang datang melawat suami,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami pernah ke Jabatan Kebajikan Masyarakat  Kuala Krai untuk memohon bantuan.

“Kami sedang tunggu permohonan dibuat baru-baru ini setelah diminta menunggu kelulusan,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0300 5410 0007 5104 atas nama Anuar Hamid.

Sinar Harian 3 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment