February 25, 2016

Tiga beradik turun sekolah 4.30 pagi disiasat

MENJADI VIRAL: Kisah tiga beradik berjalan kaki ke sekolah seawal jam 4.30 pagi setiap hari menarik perhatian orang awam yang turut bersimpati dengan nasib mereka.

Rosey telah memaklumkan perkara itu kepada JKM dan TBS untuk tindakan selanjutnya

MIRI: Berita viral mengenai tiga beradik yang terpaksa turun dari rumah seawal jam 4.30 pagi dari Permyjaya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Anci akan disiasat dan diberi bantuan segera jika ia kisah sahih.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus telah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) untuk tindakan selanjutnya.

“Saya memaklumkan perkara ini kepada JKM dan TBS bagi meneliti kes ini seterusnya berusaha menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga kurang berkemampuan ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bekenu itu turut dimaklumkan oleh JKM bahawa keluarga berkenaan menerima Bantuan Kanak-Kanak RM500 sebulan sejak April tahun lalu.

Bagaimanapun, atas dasar kemanusiaan, Rosey turut mengarah agensi kerajaan berkaitan turun padang dan melihat sendiri keperluan murid terbabit.

“Agensi itu akan melawat sendiri kanak-kanak malang ini dalam masa terdekat.

“Jika ia benar, kita amat kasihan dan simpati dengan situasi ketiga-tiganya,” katanya.

Rosey berkata jika terdapat keperluan untuk memindahkan murid berkenaan ke sekolah terdekat dengan rumah mereka, maka cadangan berkenaan akan diketengahkan kepada Jabatan Pendidikan Sarawak melalui JKM.

Menurut maklumat yang diviralkan dalam aplikasi WhatsApp, tiga daripada sembilan beradik ini dijaga oleh bapanya dan pergi ke sekolah berjalan kaki ditemani abangnya yang berusia 15 tahun.

Abangnya juga dikatakan tidak bersekolah kerana kekangan kewangan dan kadangkala adik-beradik berkenaan terpaksa menumpang orang lain sama ada ke sekolah atau pulang ke rumah.

Lokasi sekolah itu ke tempat tinggal mereka adalah lima kilometer dan maklumat sama ada murid berkenaan benar-benar berjalan kaki ke sekolah turut diteliti kesahihannya.

Sementara itu TBS Miri yang dimaklumkan perkara berkenaan bergegas ke sekolah tersebut untuk mendapatkan maklumat tepat tentang murid terbabit daripada  pihak sekolah.

TBS turut dimaklum oleh pihak sekolah bahawa maklumat diviralkan tidak benar dan murid  berkenaan ketika ini tinggal di Pujut 6 bukan di Permyjaya sebagai mana disebar.

Utusan Borneo 25 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment