February 25, 2016

Suami dijel di Melbourne

Jeli: Seorang isteri di Kampung Air Lanas, di sini, bimbang mengenang nasib suaminya yang ditahan pihak berkuasa Australia berikutan didakwa memandu dalam keadaan membahayakan di Melbourne, sebulan lalu.

Siti Iwani Samsuhainai, 31, berkata, sehingga kini dia mengetahui perkembangan terkini suaminya Mohd Rowi Ahmad, 37, yang dalam tahanan menerusi Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Australia.

Katanya, dia dimaklumkan suaminya yang bekerja di ladang buah sejak setahun lalu akan dihadapkan ke mahkamah, April ini.

“Saya berharap pihak berkuasa Australia memberi pelepasan sementara buat suami sebelum dia dituduh di mahkamah April nanti.

“Saya tak anggap permintaan ini melampau kerana kemalangan berlaku tidak membabitkan kenderaan lain.

“Kereta dipandunya dan dinaiki lima rakan hanya terbabas di tepi lebuh raya ketika mahu ke tempat kerja,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Siti Awani yang mempunyai dua anak berusia enam bulan hingga tujuh tahun berkata, setiap hari mereka sekeluarga berdoa dan berharap Mohd Rowi dilindungi dan kesihatannya baik sepanjang di penjara.

“Sepatutnya dia pulang ke tanah air Mac ini selepas setahun di sana, namun insiden itu menyebabkan semua perancangan tergendala, malah kami sendiri tidak mempunyai wang untuk melawatnya di sana,” katanya.

myMetro 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment