February 25, 2016

Atap rumah keluarga Natha roboh ditimpa tanah susur

AKIBAT BENCANA: Keadaan rumah Natha dari bahagian sisi kanan dan kiri selepas atapnya runtuh sebahagian pada 22 Februari lepas.

KUCHING: Harapan untuk mendiami rumah yang lebih selesa punah apabila sebahagian atap rumah yang dibina tahun lepas roboh akibat ditimpa tanah susur pada 22 Februari lepas.

Demikian keluh Natha Jeli, 23, ketika ditemui Utusan Borneo di kediamannya di Kampung Punau Jalan Puncak Borneo di sini, semalam.

“Awal pagi sekitar jam 4 pagi 22 Februari itu kami sekeluarga terdengar bunyi kuat dari bahagian belakang dan menyangka ia tanah runtuh tetapi tidak menyangka pula ia akan jatuh di atas atap rumah.

“Kami baharu sahaja memulakan pembesaran rumah bagi meluaskan kawasan ruang tamu dan dapur sejak tahun lepas, lagipun bapa saya cuma seorang buruh kasar,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa bapanya, Jeli Ramon, 52, sudah membuat laporan polis tetapi belum memberitahu mengenai tanah susur di bahagian belakang rumahnya kepada pihak Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Dua keluarga yang juga saudara kepada Natha turut mendiami kawasan atas bukit yang turut menunjukkan ia bahaya untuk didiami.

Natha tinggal bersama suaminya dan dua anak serta lima adik beradik dan kakak iparnya sering berasa takut sekiranya tanah dari bahagian bukit tersebut akan susur lagi selepas ini.

Keluarganya sudah mendiami tapak tanah peninggalan keluarga itu sejak lebih daripada 20 tahun, katanya.

Sementara itu, Karen Crosly, 33, yang juga mangsa banjir di Taman Cahaya Indah, Landeh kesal kerana pusat pemindahan tidak cukup untuk menampung mangsa banjir di kawasannya itu.

Dia yang sedang mengandung menumpang di rumah saudara yang tinggal berdekatan dan baharu sahaja pulang dua hari lepas untuk membersihkan rumah.

“Tidak sempat untuk berbuat apa-apa kerana air naik dengan cepat, suami saya cuma sempat mengalihkan kereta kerana diarahkan oleh jawatankuasa Rukun Tetangga dan banyak alatan elektrik di dalam rumah rosak,” tambahnya.

Karen juga diberitahu suaminya bahawa ada kemungkinan 26 Februari banjir akan berlaku lagi melalui siaran berita di televisyen.

Utusan Borneo 25 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment