February 19, 2016

Tak lama lagi 'ke dalamlah...'

Gambar lelaki bersenjatakan kapak yang ‘viral’ semalam.

Seremban: Polis sudah mengenal pasti lelaki bersenjatakan kapak yang cuba menyerang suami isteri di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong, di sini, seperti yang ‘viral’ di Facebook semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 3 petang itu, lelaki berusia 19 tahun yang memandu Proton Saga tidak puas hati apabila mangsa membunyikan hon kerana tidak bergerak sejurus lampu isyarat bertukar hijau.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kes bermula dengan pertengkaran sebelum suspek mengeluarkan kapak dan mengacukan ke arah mangsa dan isteri.

"Tindakan suspek dirakam isteri mangsa sebelum dimuat naik ke laman sosial. Kes itu menjadi viral dan mangsa tampil membuat laporan pada 10.12 malam tadi.

"Hasil laporan itu, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. Kita sudah mengenal pasti suspek dan tangkapan akan dibuat," katanya.

myMetro 18 Februari 2016


Lelaki tunjuk kapak serah diri

Foto lelaki bersenjatakan kapak yang menjadi viral dalam laman sosial.

SEREMBAN - Lelaki yang menunjukkan kapak kepada pasangan suami isteri di persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Ujong di sini, kelmarin, sudah menyerah diri, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki terbabit datang sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Seremban 2, kira-kira jam 1.30 petang.

“Setelah mengetahui polis sedang giat mencari dan mengesannya dengan membuat pemantauan di rumah, suspek dengan sendirinya menyerah diri.

 “Kita akan mendapatkan permohonan reman terhadap suspek bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati, kejadian kira-kira jam 3 petang kelmarin itu dikatakan bermula dengan pertengkaran mulut antara lelaki terbabit dan mangsa akibat cara pemanduan tidak betul.

“Namun ia berakhir apabila lelaki itu secara tiba-tiba mengeluarkan senjata kapak dari dalam keretanya dan mengacukan kepada mangsa.

“Tindakan lelaki itu telah dirakam isteri mangsa sebelum dimuat naik ke laman sosial. Mangsa kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 10.10 malam pada hari kejadian,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Bahaya.

Sinar Harian 19 Februari 2016


Kan dah kena...

Seremban: Lelaki bersenjata kapak yang cuba menyerang suami isteri dan menjadi viral di Facebook, Februari lalu, didenda RM3,700 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, apabila mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Tertuduh, P Haman Cantarn, 20, membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah terhadap seorang lelaki berusia 35 tahun dengan ugutan hendak menyebabkan cedera parah di lampu isyarat Jalan Sungai Ujong, di sini, kira-kira jam 3 petang, pada 17 Februari lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainnan Mohd Rashid manakala tertuduh diwakili M Sivaram.

Dalam kejadian itu, tindakan suspek dirakam isteri mangsa sebelum dimuat naik ke laman sosial. Kes itu menjadi viral dan mangsa tampil membuat laporan polis pada malam kejadian.

myMetro 16 Mac 2016 



0 comments:

Post a Comment