February 19, 2016

Diikat jamin RM25,000 atas tuduhan menyebabkan kematian bakal pengantin

Klang: Operator kren dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kematian pemandu van sekolah, Mohammad Izhharuddin Nordi, 23, 3 Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Fifi Md Yousoff, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di atas dakwaan menyebabkan kematian Mohammad Izhharuddin di Jalan Sungai Udang di sini, dalam kejadian jam 6.40 petang.

Mohd Fifi yang berbaju merah mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa, namun memohon untuk dibicarakan di depan Hakim Suzana Hussin.

Mohd Fifi dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin manakala tertuduh diwakili peguam bela Rasshidi Syed.

Rozana memohon mahkamah untuk tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Namun Rasshidi dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang munasabah memandangkan anak guamnya sudah berkahwin dan perlu menanggung isteri, keluarganya serta mentua.

“Saya memohon mahkamah untuk mengenakan ikat jamin yang munasabah terhadap anak guam saya kerana dia perlu menanggung isteri, keluarganya dan mentua dengan pendapatan sebagai operator kren sebanyak RM1,300 sebulan.

“Anak guam saya juga bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang dikenakan mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan berjalan,” katanya.

Suzana kemudian menetapkan jaminan RM25,000 dengan dua penjamin selain memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis terdekat pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan sehingga selesai perbicaraan.

Rozana juga memerintahkan tertuduh untuk menyerahkan pasport serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan dan menetapkan 18 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

myMetro 18 Februari 2016


Pemandu van sekolah maut ditumbuk, dua minggu sebelum majlis perkahwinan

Mohd Izhharuddin (gambar) meninggal dunia selepas ditumbuk seorang lelaki berumur 29 tahun, pada 7 malam selepas dia dikatakan gagal mengambil anak saudara suspek dari sekolah. -Gambar Facebook Mohd Izhharuddin Nordin

KLANG: Pemandu van sekolah, Mohd Izhharuddin Nordin, yang bakal melangsungkan perkahwinan kira-kira dua minggu lagi, maut ditumbuk seorang lelaki di Jalan Sungai Udang, Teluk Pulai, di sini semalam.

Mohd Izhharuddin, 24, meninggal dunia selepas ditumbuk seorang lelaki berumur 29 tahun, pada 7 malam selepas dia dikatakan gagal mengambil anak saudara suspek dari sekolah agama di Jalan Hasan di sini.

Sebelum kejadian, mangsa mengambil beberapa pelajar dari sekolah agama berkenaan dan dikatakan telah meninggalkan anak saudara suspek kerana menyangka pelajar itu balik ke rumah lebih awal.

Suspek dikatakan tidak berpuas hati dan menahan van itu. Berlaku pertengkaran, dan suspek menumbuk Izhharuddin yang duduk di bahagian pemandu.

Tunang mangsa, Siti Umi Kalthum Md Sopian, 32, guru KAFA Integrasi Nurul Ain, Teluk Gadong, di sini berkata: "Semasa itu saya berada di rumah. Kakak saya beritahu dia terlihat van sekolah yang dipandu tunang saya berada di tepi jalan dan orang sedang mengerumuni kenderaan itu.

"Kakak saya kemudian beritahu, tunang saya ditemui berada dalam keadaan tidak sedar dalam van tersebut. Dia kemudian memaklumkan bahawa tunang saya itu telah meninggal dunia," katanya.

Siti Umi Kalthum terkilan kerana hari bahagianya yang berlangsung pada 20 Feb ini, hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi dan sebahagian kad jemputan juga telah dihantar terutama untuk kenduri di pihak lelaki.

"Dia (Mohd Izhharuddin) begitu teruja dan tidak sabar menunggu hari perkahwinan kami. Saya juga ada belikan dia sehelai jubah (putih krim) yang sepatutnya dipakai arwah semasa kenduri di rumahnya nanti iaitu pada 28 Feb," katanya kepada pemberita di kediamannya di Kampung Delek di sini hari ini.

Ibu mangsa, Haniza Ahmad, 48, ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini, masih terkejut dengan kejadian yang menimpa anak kedua daripada lapan beradik itu.

"Arwah sudah beli beberapa barang hantaran seperti baju, al-Quran dan sejadah sebagai hantaran.

"Dia seorang anak yang baik dan tidak pernah membantah cakap ibu bapa, malah dia juga seronok dengan kerjayanya sebagai pemandu van sekolah yang diwarisi daripada ayahnya (Nordin Mat)," kata Haniza.

Sementara itu, Mahkamah Majistret di sini membenarkan permohonan pihak polis untuk menahan reman suspek lelaki tersebut selama seminggu bermula hari ini.
Majistret Nor Asma Ahmad mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

Utusan 4 Feb 2016


Pilu bersanding tanpa adik

Klang: Majlis perkahwinan Muhammad Izudin Nordin, 24, tengah hari tadi bertukar pilu apabila dia sepatutnya bersanding serentak dengan arwah adiknya, Izharuddin, 23, yang maut ditumbuk pada 3 Februari lalu.

Ahli keluarga, sanak saudara serta sahabat handai tidak dapat menahan sebak berikutan kenduri yang dirancang bagi menyaksikan perkahwinan dua anak lelaki itu serentak tidak kesampaian.

Bapa Muhammad Izudin, Nordin Mat, 50, berkata, walaupun gembira dengan perkahwinan anak lelaki sulungnya itu namun mereka masih bersedih dengan pemergian arwah.

"Sepatutnya hari ini arwah (Izharuddin) bersanding bersama abangnya (Muhammad Izudin) atas permintaan arwah namun semuanya sudah ditentukan Allah SWT.

"Keluarga tunang arwah sudah dimaklumkan mengenai majlis ini dan setakat ini mereka tidak kelihatan mungkin masih bersedih dengan kejadian itu," katanya.

Majlis perkahwinan itu diadakan di Dewan KEMAS daerah Klang di Persiaran Bukit Raja 2.

Izharuddin pemandu van sekolah di Jalan Sungai Udang, Klang meninggal dunia selepas dibelasah seorang lelaki berikutan arwah terlupa menjemput anak saudara lelaki itu.

myMetro 28 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment