February 13, 2016

Syor warta tapak perang

Halimah Jaafar Ali, 80, menunjukkan tapak pembakaran kabait ketika Perang Dunia Kedua di Tanjung Bakong, Kampar.

Peserta diberi penerangan oleh Mohd Hizaz (kiri) di ‘Green Ridge-Battle of Kampar’ di Kampar.

Kampar: Tapak sejarah Perang Dunia Kedua ‘Green Ridge: Battle of Kampar’, di sini, dicadang untuk diwartakan sebagai kawasan warisan bagi memulihara kawasan berkenaan dan membangunkannya sebagai kawasan tarikan pelancong.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Negeri Perak Mohd Hizaz Mohd Ibrahim berkata, pihaknya mencadangkan agar lokasi berkenaan diwartakan sebagai kawasan warisan sebagai usaha membantu kerajaan Perak melaksanakan pemuliharaan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, Kedutaan India di Malaysia juga sudah mengutus surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, baru-baru ini bagi memohon supaya kerajaan negeri membangunkan lokasi berkenaan termasuk membina tugu peringatan perang di situ.

“Lanjutan daripada itu, kita menjalankan usaha pertama dengan merintis dan menjejak semula lokasi berkenaan di kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar. Kita menjangkakan terdapat lebih 10 ‘bunker’ (kubu) yang perlu dibaik pulih.

“Kami juga dalam proses memanjangkan perkara ini ke ibu pejabat MOTAC bagi memohon peruntukan bagi membangunkan kawasan ini. Kita akan memastikan usaha ini dilakukan secepat mungkin bagi memajukan kawasan ini,” katanya selepas menyertai Program Lawatan dan Pemuliharaan Tapak Sejarah Perang Dunia Kedua ‘Green Ridge: Battle of Kampar’ yang berakhir lewat petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi, mengetuai program lawatan berkenaan yang berlangsung sehari suntuk kelmarin.

Lokasi ‘Green Ridge: Battle Of Kampar’ merujuk kepada kawasan pertempuran hebat di atas sebuah bukit di antara sepasukan 1,500 tentera British yang turut membabitkan tentera India, Sikh dan Gurkha menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari empat malam pada 30 Disember 1941.

Pertempuran yang menyaksikan kemenangan di pihak British itu turut mengakibatkan 150 tentera British dan 500 tentera Jepun maut dan dikebumikan di satu tempat di kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Green Ridge.

Dalam program pemuliharaan yang dijalankan itu, seramai 60 anggota Tentera Darat dan 40 sukarelawan menyertai program lawatan dan bergotong royong membersihkan tapak ‘Green Ridge: Battle of Kampar’ serta kawasan Kampung Tanjong Bakong di Malim Nawar.

Sementara itu, Nolee berkata, perancangan kerajaan negeri adalah bekerjasama dengan MOTAC untuk memelihara dan membangunkan semula aset penting dan tapak warisan sejarah dunia itu.

“Sebelum ini, memang sudah ada trek dan laluan di kawasan berkenaan yang diuruskan oleh sepasukan sukarelawan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun pada hari ini kita mendapati ia sudah terbiar.

“Justeru, peringkat fasa pertama, kita akan menghidupkan laluan dengan melakukan pembersihan semula tapak dan seterusnya melihat kepada potensi sebenar pembangunan yang lain.

“Kita akan mengenal pasti agensi yang bertanggungjawab untuk menjaga dan memulihara kawasan ini. Matlamatnya adalah menyerlahkan semula satu daripada lokasi peperangan terpenting ketika Perang Dunia Kedua,” katanya.

myMetro 12 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment