February 28, 2016

'Saya terlupa jerit minta tolong'

Ghazali melihat perabot hangus setelah bilik tidur rumah mangsa terbakar dalam kejadian awal pagi kelmarin, di Felda Bukit Bading.

FELDA BUKIT BADING - “Melihat tilam terbakar, saya terus tarik anak berusia 8 tahun yang sedang tidur keluar bilik. Saya nekad angkut air dari bilik air guna baldi untuk padam kebakaran... tapi api terus merebak,” kata Raja Roslinda Raja Omar, 39, menceritakan pengalaman cemas berdepan insiden sebuah bilik di rumahnya terbakar.

Ibu enam anak ini berkata, dia bersyukur kerana kebakaran kira-kira jam 7 pagi itu, hanya melibatkan bahagian bilik tidur dan tidak merebak ke seluruh rumah setelah dibantu jiran-jiran sebaik melihat kepulan asap daripada rumahnya.

“Selesai solat subuh, saya masuk ke bilik kejutkan anak, Mohd Rizman Zamir Zainuddin untuk ke sekolah. Saya terkejut sebab masa tu tilam dah terbakar. Panik sangat masa tu, saya terus rentap tangan anak yang tengah tidur tu.. saya tarik dia keluar bilik.

“Lepas tu, Saya gegas angkut air guna baldi sambil dukung anak bongsu, Mohd Rayyan Zhafran, 2, untuk padam api. Hampir setengah jam saya berusaha. tapi, api makin marak.

“Akibat terlalu panik juga saya terlupa jerit minta tolong jiran-jiran. Syukurlah mereka sedari ada kepulan asap lalu terus datang tolong sehingga api dapat dipadamkan.

“Kesemua barangan dalam bilik tidur utama hangus. Tapi, saya syukur sebab kebakaran tak merebak ke seluruh rumah. Saya juga bersyukur sebab empat anak yang ada di rumah terselamat,” katanya selepas menerima kunjungan Adun Ajil, Ghazali Taib, di sini, semalam.

Tambah Raja Roslinda, dia percaya kebakaran tersebut berpunca daripada lingkaran ubat nyamuk dalam bilik berkenaan dan berkemungkinan pergerakan anaknya yang sedang tidur menyebabkan penghalau nyamuk itu terjatuh.

Sementara itu, Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains Teknologi dan Tugas-Tugas Khas negeri berkata pihaknya melalui kunjungan tersebut turut menyumbangkan bantuan kewangan kepada mangsa serta akan melihat bantuan lain boleh dihulurkan.

“Akibat kebakaran ini juga, bekalan elektrik rumah terpaksa dipotong dan kita akan membantu untuk memastikan rumah berkenaan kembali mendapat bekalan elektrik seperti sebelumnya untuk kemudahan mangsa sekeluarga,” ujarnya.

Sinar Harian 26 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment