February 28, 2016

'Mujur ayah sempat selamatkan diri'

Yusoff menunjukkan kediamannya yang dihempas ombak dalam kejadian malam tadi. - Foto Sinar Harian

KOTA BHARU - Belum pun reda dengan bencana air pasang besar pada 7 Februari lalu, kira-kira 15 penduduk di Kampung Pantai Pulau Kundor dikejutkan dengan kejadian sama, malam tadi.

Akibat hempasan ombak yang kuat, dua kediaman penduduk di sini rosak teruk dalam kejadian itu.

‎Penduduk, Rakiah Yusoff, 54, berkata kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku ketika bapanya Yusoff Ali, 87 sedang membaik pulih kediamannya bersama anak-anaknya.

"Mujur ayah sempat selamatkan diri lagipun kejadian berlaku begitu pantas.‎

"Sebelum ini rumah saya rosak teruk dalam dua kejadian ‎pada Januari dan awal Februari lalu.

Menurut Rakiah, dia ‎tidak dapat pulang ke rumah dan terpaksa menumpang di rumah anak di Kampung Panjang selepas ditempatkan di penempatan sementara sebelum ini.‎

Ekoran kejadian terbabit berulang, dia mengharapkan bantuan dipercepatkan memandangkan kini dia tidak mempunyai tempat tinggal dan mungkin ‎akan berteduh di bangsal batik yang terletak lima meter dari pantai buat sementara waktu.

Sementara itu, Yusoff berkata dia tidak menyangka kejadian itu berulang dan buat masa ini berteduh di kawasan bangsal sebelum menerima bantuan rumah berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundor.

"Saya tidak mempunyai tempat tinggal lain dan kediaman inilah rumah saya apa pun saya harap bantuan disegerakan," katanya.

Sinar Harian 26 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment