February 22, 2016

Pembunuh upahan mati ditembak

Pikap Nissan Navara yang digunakan dua pembunuh upahan yang ditembak mati. - Foto Ihsan PDRM

Sibu: Polis menembak mati dua pembunuh upahan dalam kejadian berbalas tembak di Jalan Sibu-Selangau di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, dua lelaki warga tempatan berusia 36 dan 44 tahun ditemui mati di tempat duduk pemandu dan penumpang depan kereta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berkata, ketika melakukan rondaan risikan, pasukan polis terserempak dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara putih di bulatan Kanowit.

Menurutnya, polis mengekori kenderaan itu untuk melakukan pemeriksaan tetapi suspek memecut menuju Selangau dan ketika cuba dipintas, suspek bertindak agresif melanggar kenderaan polis menyebabkan Nissan Navara itu hilang kawalan dan terbabas di tepi jalan.

"Suspek melepaskan tembakan mengenai tingkap kereta polis dan anggota polis membalas tembakan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu sebentar tadi.

Katanya, polis kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati dua lelaki itu sudah mati akibat terkena tembakan.

Dev berkata, turut ditemui selaras senapang patah dipercayai digunakan untuk melepaskan tembakan dan ada kesan tembakan pada kenderaan suspek ditampal dengan pita pelekat, dipercayai kesan tembakan kejadian tembakan di Sibu membabitkan seorang ahli perniagaan pada 9 Januari lalu.

"Kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan suspek berusia 44 tahun pernah ditahan empat kali mengikut Akta Senjata 1960 serta kes bunuh manakala seorang lagi tiada rekod.

"Berikutan penahanan dua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan tujuh kes bunuh dan cubaan bunuh di Sibu, Sabah dan Bintulu sejak 2012," katanya.

myMetro 21 Februari 2016


Keluarga usul keraguan kes tembak mati dua penjenayah

SIBU: Timbul unsur kekeliruan dan keraguan berhubung kes apabila polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching menembak mati dua bersaudara di Sibu kerana dipercayai pembunuh upahan yang terlibat dengan enam kes bunuh dan satu cubaan bunuh.

Bagaimanapun, saudara kepada kedua-dua si mati iaitu Mulok Jingan dan isterinya, Melissa Malaya Mandi mengusul keraguan kepada pihak polis kerana menggelar kedua-duanya sebagai pembunuh upahan tanpa bukti yang jelas.

“Kedua-duanya Joshua Beti Chong,44 dan Awie Ningan,36 telah mati. Polis harus berlaku adil dan dedah kebenaran jika benar mereka pembunuh upahan yang dikaitkan dengan enam kes bunuh dan satu cubaan bunuh,” katanya.

Sebelum ini, dalam sidang media baru-baru ini, Ketua Siasatan Jenayah Negeri SAC Dev Kumar menggelar kedua-dua mereka sebagai pembunuh upahan yang dikaitkan dengan tujuh kes tembakan.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Yap Hoi Liong dan mengulas mengenainya, Yap menjelaskan bahawa kejadian itu telah mengundang tumpuan umum.

“Polis Sarawak perlu menjelaskan perkara sebenar. Polis perlu mengemukakan bukti bahawa kedua-dua si mati adalah pembunuh upahan yang dikaitkan dengan tujuh kes.

“Mereka mesti menjelaskan bagaimana Joshua telah diupah membunuh di Sabah sedangkan ketika itu dia berada dalam penjara di Sibu,” katanya.

Utusan Borneo 29 Feb 2016




0 comments:

Post a Comment