February 22, 2016

Korban pertama banjir di Sarawak

Anggota bomba melakukan operasi SAR bagi mengesan Judus yang dihanyutkan arus deras, malam semalam. FOTO ihsan bomba

Padawan: Lelaki berusia 20 tahun menjadi korban pertama banjir di Sarawak apabila dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir untuk pulang ke rumahnya di Kampung Maan, Siburan, di sini, malam semalam.

Dalam kejadian 9 malam itu, Judus Jalina bersama beberapa rakan cuba menyeberang jalan yang ditenggelami air sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, seorang rakan mangsa yang sempat berpaut pada dahan pokok hanya mampu melihat mangsa dibawa arus deras sebelum hilang.

Kakak tiri mangsa yang dikenali sebagai Kismia, 20-an berkata, dia mengetahui kejadian itu daripada seorang saudara yang menghubunginya tengah malam semalam

"Walaupun, peluang untuk menemuinya dalam keadaan selamat agak tipis, tetapi saya masih meletakkan harapan tinggi dia masih hidup. Sekiranya dia sudah tiada, kami harap mayatnya ditemui," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya hanya memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.

Katanya, operasi SAR dengan kerjasama sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan polis dijalankan seawal 8 pagi.

"Bagaimanapun, sehingga 4 petang tadi, belum ada sebarang perkembangan positif atau petanda mangsa ditemui. Operasi SAR akan disambung semula esok," katanya.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di negeri ini terus mencatatkan peningkatan kepada 5,769 orang daripada 1,527 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 5,362 orang pada 6 petang tadi.

Mereka ditempatkan di 31 pusat pemindahan di Kuching, Bau, Padawan dan Serian.

myMetro 21 Februari 2016


Mayat mangsa dihanyutkan arus ditemui

MAYAT mangsa ditemui dalam semak di kawsan kebun di Kampung Maan. FOTO ihsan Bomba

Padawan: Mayat lelaki yang dihanyutkan arus deras ketika meredah banjir di kawasan kebun di Kampung Maan, Siburan di sini, Sabtu lalu ditemui petang tadi.

Mayat korban pertama banjir itu, Judus Jalina, 20, ditemui 5.50 petang oleh pasukan penyelamat kira-kira 150 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat ditemui dalam semak di kawasan kebun.

Menurutnya, paras air yang semakin surut kurang daripada 0.5 meter memudahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Mangsa ditemui lengkap berpakaian terbaring dalam semak di kebun itu.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kira-kira 11 pagi tadi pasukan penyelamat menemui beg sandang yang digunakan mangsa juga tidak jauh dari lokasi dia terjatuh.

"Operasi SAR ditamatkan sejurus penemuan mayat mangsa," katanya.

Dalam kejadian 9 malam Sabtu lalu, mangsa bersama beberapa rakan cuba menyeberang jalan yang ditenggelami air sebelum terjatuh dan dihanyutkan arus deras.

Difahamkan, rakan mangsa yang sempat berpaut pada dahan pokok hanya mampu melihat mangsa dibawa arus deras sebelum hilang.

myMetro 22 Februari 2016








0 comments:

Post a Comment