February 23, 2016

Misteri kehilangan Wan Syazlin

NORAINI bersama WAN Zainuddin menunjukkan gambar Wan Syazlin dan laporan polis berhubung kehilangan anak mereka di kediamannya di Jalan Beris, Kampung Jambu Golok/Telaga Emas, bandar Paka, Dungun semalam.

DUNGUN – Seorang gadis remaja yang didakwa gagal pulang semula ke rumah keluarganya di Kampung Telaga Emas dekat sini sempena cuti semester sejak 18 hari lalu menimbulkan rasa resah dalam kalangan ahli keluarganya.

Wan Syazlin Wan Zainuddin, 19, yang merupakan penuntut semester kedua kursus Diploma Perakaunan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di Semambu, Kuantan dipercayai keluar dari asramanya sejak 5 Februari lalu.

Ibunya, Noraini Abu Bakar, 50, memberitahu, kehilangan anak keempat daripada tujuh beradik itu disedari setelah remaja itu gagal dihubungi sejak 7 Februari lalu.

Kosmo 23 Feb 2016


Keluarga rayu henti sebar fitnah

DUNGUN - Keluarga pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Wan Syazlin Wan Zainuddin, 19, yang gagal dikesan sejak 5 Februari lalu, merayu semua pihak menghentikan sebarang fitnah atau andaian tidak baik mengenai kehilangan pelajar itu.

Selepas berita kehilangan remaja itu tersebar, pelbagai tohmahan serta cerita kurang enak timbul dan menjadi viral di laman sosial termasuk mendakwa gadis berasal dari Kampung Telaga Mas, Paka, dekat sini, itu sudah ditemui, tidak hilang serta lari mengikut lelaki lain.

Ibunya, Noraini Abu Bakar, 50, mengakui, kata-kata fitnah dan andaian negatif sebegitu amat menggores perasaannya sebagai seorang ibu.

Menurutnya, anak keempat dari tujuh beradik itu gagal dikesan sehingga kini dan keluarganya melakukan pelbagai ikhtiar.

"Saya tahu ramai yang cakap tak elok mengenai kehilangan anak saya. Ahli keluarga memaklumkan kepada saya perkara itu, tapi saya tak mahu baca viral negatif itu kerana terlalu sedih.

"Apa perasaan mereka jika mereka berada di tempat saya? Sepatutnya mereka bersama-sama mendoakan yang terbaik tetapi sebaliknya membuat fitnah. Kami risaukan Alin (Wan Syazlin) dan harap sangat berharap dia selamat," katanya.

Noraini memberitahu, anaknya itu tidak pernah berperangai tidak elok sebelum ini, malah kawan-kawannya memberitahu, Wan Syazlin tidak sabar untuk pulang ke rumah sebelum didapati hilang.

Dia memaklumkan perkara itu kepada Sinar Harian ketika ditemui semasa menerima kunjungan Pengerusi Penyelaras Dun Paka, Tengku Hamzah Tengku Draman di rumahnya, semalam.

Sementara itu, bapanya, Wan Zainuddin Wan Isa, 56, berkata, selain bantuan polis, pelbagai ikhtiar dilakukan termasuk solat hajat dan menggunakan khidmat pengamal perubatan tradisional.

"Kami sudah jumpa lebih 10 pengamal perubatan tradisional di merata tempat dan kebanyakannya memberitahu anak kami kini dipukau serta berada di bawah kawalan lelaki yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.

"Kami tak putus-putus berusaha serta berdoa dan harapan kami, jika benar Alin diperangkap, tolonglah lepaskan dia dalam keadaan selamat," katanya.

Tambah Wan Zainuddin, segala urusannya sekeluarga terganggu kerana memikirkan Wan Syazlin dan mereka merayu, sekiranya ada lelaki berkenan atau ingin memperisterikan anaknya itu agar menzahirkan hajat mereka dengan cara baik.

"Semua perkara boleh dibincangkan...yang penting sekarang, Alin pulang dalam keadaan baik dan selamat. Sudah lebih seminggu Alin hilang dan keadaan ini amat merisaukan kami sekeluarga," katanya.

Sinar Harian 25 Feb 2016


Derita anak hilang ditambah tohmahan

Dungun: “Saya tidak boleh menerima kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa anak saya bukan hilang tapi sengaja melarikan diri daripada keluarga,” kata Wan Zainuddin Wan Isa, 56, bapa kepada Wan Syazlin, 19, yang dilaporkan hilang sejak 5 Februari lalu.

Menurutnya, dia yakin anak keempat daripada tujuh beradik itu tidak akan melarikan diri daripada keluarga dengan sengaja seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Saya lebih mengenali anak saya dan dia tidak akan menghilangkan diri tanpa sengaja.

“Saya merayu kepada mana-mana pihak atau individu yang ada menemuinya atau mengetahui lokasi dia berada supaya dapat menghubungi kami sekeluarga.

“Sehingga kini pelbagai usaha sudah saya lakukan antaranya solat hajat dan baca Yasin supaya anak pulang, namun semuanya usaha itu masih menemui kegagalan,” katanya.

Wan Syazlin yang menuntut di Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) di Kuantan, Pahang sepatutnya pulang bercuti sempena cuti panjang Tahun Baru Cina pada 7 Februari lalu, selepas pihak pengurusan kolej memberikan cuti 10 hari kepada semua pelajar sempena perayaan itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya dapat menghubungi saya di talian 013-9337670,” katanya.

myMetro 8 Mac 2016


Wan Syazlin dipercayai berada di utara

KUANTAN - Pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) Wan Syazlin Wan Zainuddin, 19, yang menghilangkan  diri awal bulan lalu dipercayai kini berada di utara.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, perkembangan itu berdasarkan hasil siasatan yang dilakukan pihak polis bagaimanapun usaha akan dilakukan sehingga gadis itu berjaya ditemui.

Menurutnya, polis akan meneliti sebarang petunjuk yang boleh membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Cawangan Khas Pahang di antara Datuk Riduan Hashim dengan Senior Asistan Komisioner, Mohd Shuhaily Mohd Zain, di sini, hari ini.

Pada 3 Mac lalu, polis mengesahkan gadis tersebut sengaja menghilangkan diri atas faktor tertentu dan kehilangannya tidak dikaitkan dengan sebarang unsur jenayah.

Sebelum itu, kes kehilangan Wan Syazlin Wan Zainuddin, 19, menjadi viral di laman sosial apabila ramai yang bersimpati dan menyebarkan berita kehilangan gadis itu dengan harapan dia akan segera ditemui.

Wan Syazlin kali terakhir dilihat di Polisas pada 5 Februari lalu dan sepatutnya pulang ke Terengganu sempena cuti Tahun Baharu Cina, bagaimanapun gadis itu tidak muncul-muncul sehingga memaksa bapa­nya, Wan Zainuddin Wan Isa membuat laporan polis pada 8 Februari lalu apabila cubaan meng­hubungi Wan Syazlin gagal kerana telefonnya dimatikan.

Dalam perkembangan berkaitan bauksit, Sharifuddin berkata, sehingga kini, dalam tempoh moratorium, semua pengusaha patuh dan pihaknya berpuas hati dengan situasi tersebut.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat pertukaran petugas iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak dengan Batalion 4 PGA Semenyih seramai 90 anggota bermula hari ini.

“Skop tugasan mereka tetap sama dan di tempatkan di sembilan lokasi yang ditetapkan,” katanya.

Sinar Harian 11 Mac 2016


0 comments:

Post a Comment