February 21, 2016

Maut jatuh kondo

Kajang: Remaja lelaki 18 tahun ditemui maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat lima kondominum di Sungai Long, di sini, kira-kira 11 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willy Richard, berkata pihaknya menerima laporan daripada lelaki yang melihat mangsa jatuh dari bangunan itu.

Katanya, siasatan awal polis menemui mangsa maut di tempat kejadian.

“Siasatan awal polis menemui barangan peribadi mangsa di balkoni tingkat lima kondominium terbabit seperti beg pinggang, kad pengenalan dan kasut dalam keadaan tersusun serta tiada kesan pergelutan.

"Difahamkan, Mangsa mendiami Bandar Mahkota Cheras dan ingin pergi ke rumah rakannya di tingkat 13 kondominum terbabit, namun dipercayai tiada orang.

"Mayat sudah dihantar ke Hospital Kajang dan keputusan bedah siasat menunjukkan mangsa parah di kepala akibat jatuh dari tempat tinggi," katanya.

Willy berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa adalah bekas penuntut kolej swasta di Kuala Lumpur, berhenti selepas kemalangan kira-kira enam bulan lalu dan mengalami kemurungan.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada keluarga mangsa dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

myMetro 21 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment