February 20, 2016

Kereta terbalik rempuh motor

MANGSA tersepit serta terbaring selepas kemalangan membabitkan Perodua Kancil dan penunggang motosikal berkuasa tinggi di Jalan Sulaman, semalam.

Kota Kinabalu: Kecuaian seorang pemandu kereta yang bertindak membuat pusingan ‘U’ secara melulu menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi parah apabila kedua-duanya bertembung di Jalan Sulaman, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8 pagi, penunggang motosikal, Mohd Zain Jainudin, 24, parah di kepala selain patah tulang rusuk, manakala pemandu kereta yang belum dikenal pasti berusia 57 tahun parah di kepala.

Sementara dua lagi penumpang kereta iaitu isteri pemandu kereta terbabit turut cedera di kepala dan anak lelakinya yang berusia 20 tahun patah peha kiri.

Mereka yang cedera kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, mangsa yang menunggang motosikal dikatakan dari arah persimpangan lampu isyarat Universiti Malaysia Sabah (UMS) menuju ke Sepanggar.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu Perodua Kancil itu secara tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ dan penunggang motosikal gagal mengelak terus merempuh kereta berkenaan.

Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak di tepi jalan, manakala kereta berkenaan terbalik.

Beberapa pengguna jalan raya yang menyedari kejadian itu kemudian membantu semua mangsa sebelum menghubungi ambulans.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten M Chandra ketika dihubungi, semalam, mengesahkan kejadian itu.

“Keadaan cuaca ketika kejadian adalah baik, tetapi terdapat kesesakan lalu lintas berikutan waktu puncak.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu kereta yang membuat pusingan U secara melulu,” katanya.

Chandra berkata, pihaknya masih melakukan siasatan lanjut mengenai punca kejadian.

“Kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapatkan rawatan

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 20 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment