February 25, 2016

Lelaki adu sering sakit kepala mati

ANGGOTA polis memeriksa mayat Chan yang ditemui di Flat Sri Swarna, Ayer Itam, semalam.

Georgetown: “Saya ingatkan ada orang buang sampah sebelum terkejut apabila melihat tubuh seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 36, mengenai kes bunuh diri di kawasan rumahnya di Flat Sri Swarna, Ayer Itam di sini, semalam.

Menurutnya, dia dan beberapa penduduk mengambil kertas untuk menutup mayat sebelum menghubungi pihak berkuasa memaklumkan kejadian itu.

“Lelaki terbabit cedera teruk di kepala dan keadaan mayatnya agak ngeri membuatkan kami terpaksa menutup tubuhnya daripada dilihat orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian berlaku jam 11.30 pagi dan mangsa didapati terjun dari tingkat enam flat itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai Chan Ah Goo, 69, yang sejak kebelakangan ini dikatakan kerap memberitahu isterinya yang dia mengalami sakit kepala.

“Lelaki terbabit mungkin tidak tahan dengan penyakit dihidapi membuatkannya nekad terjun dari koridor berhampiran lif di rumahnya.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati mangsa menggunakan kerusi untuk memanjat koridor sebelum terjun dan mayatnya ditemui terperosok dalam longkang,” katanya.

Katanya, mangsa parah di kepala, badan, kaki serta tangan dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.

myMetro 25 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment