February 25, 2016

'Kasih kami tiada noktah'

Aziz (kanan) berbincang dengan ibu bapa Nur Fatihah ketika lawatan di Kampung Sungai Layar Hujung.

Sungai Petani: “Walaupun anak sulung kami dianugerahkan Allah dengan kecacatan kekal, namun saya dan isteri sanggup berkorban apa saja selain reda dan tetap sayangkannya,” kata Abdul Rahim Mat Lazim, 35, dari Kampung Sungai Layar Hujung dekat sini, semalam.

Anak pasangan itu, Nur Fatihah Abdul Rahim, 8, mengalami penyakit urat saraf sejak lahir akibat kekurangan oksigen di otak menyebabkannya lumpuh selain kaki dan tangan mengecil.

Walaupun terpaksa menghabiskan wang simpanannya, Abdul Rahim dan isteri, Rohana Hussin, 46, tetap berusaha mengubati anak sulung mereka biarpun mengetahui harapan untuk sembuh tipis.

Menurutnya, mereka tetap berikhtiar dan berharap ia akan memberikan hasil satu hari nanti.

“Kami sentiasa berusaha mengubati Nur Fatihah sama ada melalui kaedah saintifik atau tradisional kerana kami tahu jauh di sudut hati Nur Fatihah, dia ingin menjalani kehidupan normal seperti adiknya, Nur Amira, 6.

“Sejak dia lahir hingga kini, saya sudah menghabiskan puluhan ribu ringgit untuk mengubati Nur Fatihah,” katanya.

Katanya, pendapatannya sebagai nelayan tidak menentu dan paling banyak RM300 hingga RM500 seminggu.

“Dengan pendapatan itu ditambah bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM300 sebulan banyak dihabiskan untuk rawatan Nur Fatihah manakala selebihnya untuk perbelanjaan harian.

“Kami malu untuk meminta-minta menyebabkan selagi masih berupaya mencari rezeki saya akan terus berikhtiar untuk menyembuhkan anak saya,” katanya ketika dikunjungi Pengarah Urusan Ibrahah Son Marketing Sdn Bhd Datuk Seri Aziz Ibrahim bagi menyampaikan sumbangan kepada Nur Fatihah.

Dalam perkembangan sama, Aziz berkata, syarikatnya akan membantu keluarga berkenaan dengan cara menderma melalui jualan produk mereka iaitu Olga sejenis jus minuman kesihatan.

“Setiap 10 sen hasil jualan Olga setiap bulan akan disalurkan kepada keluarga Abdul Rahim bagi meringankan beban ditanggungnya.

“Ini khidmat sosial masyarakat yang mampu syarikat berikan untuk keluarga seperti Abdul Rahim dan kami komited melakukannya secara berterusan,” katanya.

myMetro 25 Februari 2016





0 comments:

Post a Comment