February 25, 2016

Jurugambar satu tangan

NASRULHAQ

NASRULHAQ ketika mengambil gambar perkahwinan.

Parit Buntar: Bergelar orang kurang upaya (OKU) selepas tangan kirinya tidak mampu digerakkan akibat kemalangan sekitar 2012 bukan halangan kepada Mohd Nasrulhaq Sa’izaman, 22, untuk mencipta nama dalam bidang fotografi hingga menjadi sebutan antara jurugambar perkahwinan terkenal di daerah ini.

Lebih mengagumkan Mohd Nasrulhaq begitu mahir mengendalikan kamera dan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai masalah besar.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah putus semangat berikutan keadaan menimpanya ketika menuntut di sebuah kolej swasta di Pahang, namun selepas dipujuk rakan-rakan, dia kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupannya biarpun bergelar OKU.

Katanya, dia kemudian memulakan kehidupan baru dengan menyambung pelajaran dalam bidang Teknologi Fotografi di GiatMARA Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 2013-2014 hingga bergelar jurugambar perkahwinan yang semakin dikenali ramai khususnya penduduk di daerah Kerian dan Bandar Baharu, Kedah.

“Bermula dengan ajakan rakan, saya turun ke majlis perkahwinan berbekalkan sebuah kamera lengkap dengan aksesori untuk mempraktikkan ilmu dipelajari.

“Cubaan pertama menampakkan hasil positif apabila gambar diambil dari kameranya banyak digunakan rakan untuk menghasilkan satu album kustom untuk pengantin.

“Ditambah pujian diterima daripada pasangan pengantin membuatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya walaupun tanpa sebelah tangan,” katanya.

Menurutnya, pada awalnya dia agak janggal untuk menjadi jurugambar perkahwinan berikutan kekurangan diri.

“Semuanya bermula pada pertengahan 2014 apabila menerima ajakan rakan yang mahukan teman untuk kerja fotografi di rumah pengantin di Parit Buntar.

“Alhamdulillah, ilmu yang saya pelajari mendapat maklum balas positif daripada rakan dan pasangan pengantin, malah banyak gambar saya digunakan rakan untuk dimuatkan dalam albumnya.

“Bermula dari situ, saya beranikan diri untuk bergerak solo walaupun menyedari banyak halangan dan dugaan ketika mengambil gambar,” katanya.

Katanya, antara halangan utama ialah pergerakan yang terbatas sewaktu menukar lensa mengikut situasi tertentu.

“Selain itu, cabaran kedua untuk menukar lensa sesuai terutama sesi penggambaran luar di mana lensa berlainan terpaksa digunakan,” katanya.

myMetro 25 Februari 2016




0 comments:

Post a Comment