February 29, 2016

Lans koperal parah dibelasah 10 lelaki

ANGGOTA polis yang cedera selepas dipukul 10 lelaki dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Sri Taming, Kajang.

Kajang: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal parah dibelasah sekumpulan 10 lelaki selepas mangsa dikatakan menegur perbuatan mereka di persimpangan lampu isyarat Sri Taming, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20 tahun bersama seorang lagi rakan dikatakan mengarahkan dua kereta iaitu Proton Waja dan Nissan Sentra dinaiki 10 lelaki berhenti di tepi jalan dipercayai untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, kumpulan suspek bertindak memukul mangsa secara beramai-ramai dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa mengarahkan kereta mereka berhenti
di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, anggota polis terbabit turut disamun sebelum suspek melarikan diri.

“Dompet mangsa bersama telefon bimbit dilarikan suspek manakala rakan mangsa sempat melarikan diri untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Difahamkan anggota polis terbabit bertugas di Istana Melawati, Putrajaya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh membantu polis dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

myMetro 29 Februari 2016


Empat ditahan cederakan anggota polis

Kajang: Polis menahan empat lelaki kira-kira 6 petang semalam, selepas dipercayai terbabit dalam insiden mencederakan anggota polis di Taman Baiduri Cheras, awal pagi semalam.

Semua suspek berusia 20 hingga 29 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang, dalam serbuan ke sebuah rumah di Damai Perdana, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta supaya tampil membantu siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun yang membawa hukuman 20 tahun penjara serta sebatan jika disabit kesalahan.

Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, mangsa, Lans Koperal Mohd Firdaus Baharuddin, terserempak dengan sekumpulan empat hingga lima individu yang cuba menyamun seorang lelaki.

Mangsa yang bertugas di Istana Melawati, Putrajaya, cuba memberikan bantuan sebelum dibelasah kumpulan suspek terbabit.

myMetro 29 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment