February 29, 2016

Rawatan seikhlas hati

ISMAIL melakukan pemeriksaan menggunakan kaedah terapi warna kepada pesakit.


Batu Pahat: Tiada bayaran khusus ditetapkan kerana dibuat seikhlas hati namun rawatan fisioterapi hasil gabungan kaedah moden dan tradisional yang diperkenalkan berjaya memulihkan ribuan pesakit terutama penghidap angin ahmar, patah tulang dan sakit tulang belakang.

Malah, rawatan secara percuma bagi warga emas serta orang kurang upaya (OKU) menjadikan Pusat Akuterapi Ismail (IAC) di Parit Haji Khamis, di sini, yang diusahakan sejak 1986 semakin menjadi perbualan ramai.

Pemiliknya yang juga bekas kakitangan sebuah hospital swasta, Ismail Ali, 59, berkata, kaedah akupuntur digunakan tidak menggunakan jarum sebaliknya digantikan dengan pelekat atau pad yang disambungkan kepada mesin khas yang mengalirkan elektrik dengan arus antara sembilan watt sehingga 24 watt.

Menurutnya, dengan izin Allah, ramai pesakit semakin pulih walaupun ada antara mereka menanggung penyakit lebih 10 tahun.

“Antara khidmat perubatan alternatif yang dilakukan adalah menggabungkan beberapa rawatan iaitu fisioterapi, akupuntur, elektrik dan terapi warna bagi membantu pesakit terutama yang mengalami serangan angin ahmar, patah tulang dan sakit tulang belakang.

“Apabila pesakit datang buat kali pertama, saya terlebih dulu melihat keadaan mereka sama ada menerusi titik akupuntur atau warna sebelum menentukan jenis rawatan mana yang sesuai untuk mereka,” katanya ketika.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia mempelajari kaedah rawatan itu ketika berumur 25 tahun daripada pelbagai pihak termasuk pengamal perubatan tradisional Melayu, tabib Cina dan tukang urut berpengalaman.

Difahamkan, untuk menguasai bidang perubatan berkenaan, Ismail nekad mempelajari bahasa Mandarin selama lebih empat bulan.

“Hati saya terdetik mempelajari ilmu ini disebabkan arwah ayah. Ketika itu arwah menghidap angin ahmar yang agak serius namun meninggal dunia 11 tahun lalu.

“Sejak itu saya nekad mempelajari ilmu perubatan baik moden mahupun tradisional,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kesukaran mendapatkan rawatan dengan harga murah bagi mengubat sakit bapanya, dia berazam menubuhkan pusat rawatan alternatif tanpa bayaran.

“Saya tahu betapa sukarnya memperoleh rawatan dengan harga murah. Sebab itu selepas saya buka pusat rawatan ini, saya tidak mahu menetapkan bayaran. Malah, percuma bagi warga emas dan OKU,” katanya.

Ismail berkata, mereka yang datang ke IAC terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa, malah pesakit dari luar negara termasuk England, India, China, Singapura dan Indonesia juga mendapatkan khidmatnya dan empat kakitangan lain.

“Pusat rawatan kami beroperasi setiap hari kecuali Ahad dan Khamis bermula jam 11 pagi hingga 7 malam, tetapi orang ramai sudah mula beratur sejak 8 pagi untuk mendaftar,” katanya.

Difahamkan tempoh setiap rawatan terhadap pesakit bergantung kepada keadaan mereka namun ia selalunya mengambil masa 45 minit hingga dua jam bagi satu sesi rawatan.

myMetro 29 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment