February 1, 2016

Isteri pengarah filem U-Wei mati lemas di Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR – Isteri kepada pengarah filem terkenal, U-Wei Asaari disahkan meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas mayatnya ditemui terapung di Teluk San Leandro, Oakland, Amerika Syarikat kelmarin.

Diana Gail Asaari atau lebih mesra dipanggil Usah, 62, dilaporkan hilang sewaktu be­renang di teluk berkenaan pada petang 22 Januari lalu oleh keluarganya apabila tidak pulang menjelang malam pada hari yang sama.

Bagaimanapun punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas proses bedah siasat dijalankan pada Jumaat ini.

U-Wei atau nama sebenarnya Zuhir Asaari, 62, yang kini ber­ada di Oakland hanya menzahirkan ucapan terima kasih atas doa dan ucapan takziah yang diberikan keluarga dan rakan terdekat.

“Terima kasih atas semua ingatan yang dikirimkan untuk arwah isteri saya. Doakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata pengarah filem sensasi Perempuan, isteri dan ... itu ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, rakan karib pasangan tersebut, Sutex Haron seorang pereka kostum popular berkata, U-Wei cukup tenang sewaktu menyampaikan berita pe­nemuan mayat Usah kepadanya.

Kosmo 1 Feb 2016


Isteri U Wei ditemui mati di pantai AS

Kuala Lumpur: Isteri pengarah filem tersohor tempatan U-Wei Saari, Diana Gail Saari, 62, ditemui mati di perairan sebuah pantai di Alameda, California, Amerika Syarikat. Jumaat lalu, setelah tujuh hari dilaporkan hilang.

U Wei atau nama sebenarnya Zuhir, dalam responsnya kepada Bernama melalui Whatsapp, enggan mengulas lanjut dan hanya mencatat: "Terima kasih. Doakan rohnya dirahmati, ditenangi dan disenangi Allah dan berada bersama orang-orang yang beriman”.

Rabu lalu, U-Wei dalam catatan Facebooknya menulis: "I love you usah (gail)."

Status berkenaan dipenuhi dengan ucapan takziah sejak semalam daripada kaum keluarga dan rakan termasuk rakan seni Sabri Yunus, Pyanhabib, Khalid Salleh, Siti Zainon Ismail dan Eman Manan.

The San Francisco Chronicle dalam portalnya www.sfgate.com melaporkan jasad Gail dijumpai Unit Marin Jabatan Polis Oakland di perairan luar pantai Alameda, California pada petang Jumaat (waktu tempatan) selepas diadukan hilang lebih seminggu.

Gail hilang pada 22 Januari di Oakland, California, dan teman-temannya dilaporkan akhir sekali melihatnya kira-kira 10 pagi waktu tempatan hari yang sama.

Beliau bertugas sebagai pengarah penerbitan di Independent Institute, sebuah badan pemikir yang tidak bermotifkan untung di 100 Swan Way, Oakland.

Beliau tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur selama beberapa tahun ketika menjadi Editor Urusan bagi majalah Malaysian Naturalist.

Gail mendapat sarjana muda Sastera dari Universiti Tennessee dan ijazah sarjana Sastera dalam Hal Ehwal Antarabangsa dari Universiti Ohio.

myMetro 31 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment