January 31, 2016

Suami isteri tergamam wang BR1M lesap

Kejadian disedari apabila mereka semak akaun simpanan, wang dikeluar secara ‘online’

SIBU: Sepasang suami isteri tergamam apabila mendapati wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) lesap di dalam akaun simpanan Khamis lalu.

Kejadian itu disedari seorang suri rumah, 24, ketika menyemak status akaun mereka melalui bank terbabit sekitar jam 5 petang kelmarin.

Mangsa terkejut apabila dimaklumkan pihak bank terbabit bahawa terdapat pengeluaran melalui aplikasi atas talian jam 4.15 petang hari yang sama.

“Saya menjelaskan kepada pegawai bank berkenaan bahawa saya tidak pernah membuat sebarang pengeluaran secara ‘online’ malah jauh sekali pandai menggunakan Internet atau komputer,” katanya.

Disebabkan masalah itu, mangsa berasal dari Song tampil ke Balai Polis Sentral di sini untuk membuat laporan polis petang kelmarin.

Beliau berkata, wang simpanan terdahulu berada di dalam akaun juga habis dikeluarkan bersama wang BR1M dan kini hanya berbaki RM10.

Mangsa berharap pihak terbabit agar menyelesaikan masalahnya secepat mungkin.

“Ini merupakan kali pertama saya mengalami masalah wang BR1M dikeluarkan oleh individu tidak bertanggungjawab sejak menerima bantuan tersebut tiga tahun lalu,” katanya.

Utusan Borneo 31 Jan 2016

0 comments:

Post a Comment