February 1, 2016

Maut dalam keadaan bersujud

Mayat Arifin Che Long ditemui dalam keadaan bersujud oleh orang ramai di simpang Felda Perasu, Gua Musang kelmarin.

GUA MUSANG – Malang menimpa seorang lelaki warga emas yang bukan sahaja menjadi mangsa langgar lari malah ditemui maut berlumuran darah dalam keadaan bersujud oleh orang ramai di simpang Felda Perasu di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, peneroka Felda Chiku 1, Arifin Che Long, 74, dikatakan dalam perjalanan pulang dari kebun kelapa sawitnya di Felda Perasu dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5.

Mayat warga emas ber­kenaan ditemui kira-kira satu meter dari motosikalnya.

Isteri mangsa, Che Zaharah Awang Kecil, 65, berkata, dia terkejut selepas me­nerima berita suaminya maut dalam ke­adaan bersujud.

“Orang kampung yang baru pulang dari kebun ternampak motosikal suami berada dalam semak sebelum ternampak arwah berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa. Kebiasaannya arwah akan ke kebun pada pukul 10 pagi dan pulang ke rumah sebelum pukul 1 te­ngah hari.

Kosmo 1 Feb 2016


Kaku sujud menghadap kiblat

Gua Musang: “Mungkin arwah teringat dia belum solat Zuhur ketika itu atau mungkin juga dia menanggung kesakitan di kepalanya.

“Apapun saya reda dengan pemergiannya dan berdoa dia dalam keadaan baik ketika nyawanya diambil,” kata Che Zaharah Awang Kecil, 65.

Suaminya, Arifin Che Long, 74, maut dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 30, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat simpang Rancangan Tanah FELDA Chiku Satu, di sini, kelmarin.

Kemalangan berlaku jam 12.30 tengah hari ketika Arifin menunggang motosikal seorang diri untuk pulang ke rumah di Chiku Satu dan dipercayai dirempuh kenderaan dari arah belakang sebelum terpelanting dalam semak di bahu jalan.

Difahamkan, sejurus kejadian, warga emas itu sempat merangkak keluar dari semak dan melutut di bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah.

Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, dia ditemui orang ramai tidak bernyawa dalam keadaan sujud dan menghadap kiblat.

Che Zaharah berkata, arwah suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah dari kebun sawitnya yang terletak di Jalan FELDA Perasu, tiga kilometer dari kediaman mereka.

“Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, suami ke kebun melihat tanaman dan pulang ke rumah sebelum jam 1 tengah hari untuk solat di surau berdekatan rumah.

“Itu rutin harian dilakukan sejak dulu lagi dan kami sekeluarga turut serta solat berjemaah di surau. Kadangkala jika imam tiada, suami ganti menjadi imam.

“Sebab itu apabila dimaklumkan arwah dalam keadaan sujud ketika ditemui, saya anggap dia teringat dia perlu solat Zuhur,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Anak sulung arwah, Farizi Arifin, 42, berkata, arwah bapanya berkeadaan biasa ketika keluar rumah pada jam 10 pagi untuk ke kebun sawit.

Katanya, Arifin juga tidak mempunyai penyakit kronik sama ada darah tinggi, kencing manis mahupun jantung.

“Kami sekeluarga pasrah dengan kejadian ini dan berharap individu melanggar ayah dikesan dan dikenakan tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang, di sini, untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan kenderaan yang dipercayai melanggar mangsa dan berharap orang ramai yang melihat kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah di talian 09-9121222.

myMetro 1 Feb 2016


Maut dalam keadaan sujud

GUA MUSANG - Seorang peneroka warga emas di Felda Chiku 1 ditemui meninggal dunia dalam keadaan seumpama bersujud selepas terbabit dalam kejadian langgar lari di Kilometer 30 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, petang semalam.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 12.30 petang dan mangsa, Arifin Che Long, 74, menunggang motosikal berseorangan dari kebunnya di Jalan Felda Perasu untuk pulang ke rumah.

Mangsa dipercayai dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang sebelum tercampak ke dalam semak di tepi jalan berkenaan bersama motosikal ditungganginya.

Mangsa kemudiannya dipercayai merangkak ke bahu jalan dan dipercayai meninggal dunia dalam keadaan bersujud sambil menahan kesakitan akibat kecederaan parah di kepala sebelum ditemui orang ramai yang kebetulan melalui lokasi berkenaan.

Anak mangsa, Farizi, 42, memberitahu, bapanya keluar rumah sejak jam 10 pagi dengan menunggang motosikal untuk ke kebun sawitnya di Jalan Felda Perasu.

"Sudah jadi kebiasaan ayah pergi ke kebun untuk melihat pokok sawit yang diusahakannya kerana bimbang ia dimusnahkan babi hutan. Arwah dipercayai dirempuh kenderaan dalam perjalanan pulang dan kepalanya cedera parah.

"Memang kebiasaan arwah pulang ke rumah sebelum jam 1 petang setiap hari walau ke mana pun dia pergi, kerana dia mahu ke surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat Zohor berjemaah," katanya.

Farizi berkata, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima berita tersebut dan melihat sendiri keadaan mayat mangsa dalam keadaan sujud dipercayai kerana teringat untuk menunaikan solat Zohor sambil menahan kesakitan.

Isteri mangsa, Che Zaharah Awang Kecil, 65, berkata, kebiasaannya mangsa akan membawanya atau anak-anak sebagai peneman jika ke kebun sawit, namun pada hari kejadian dia pergi berseorangan.

"Dia (mangsa) tidak pernah gagal solat berjemaah di surau pada setiap waktu dan mungkin keadaannya semasa meninggal merupakan petunjuk dari ALLAH SWT. Jika benar ia petunjuk dari-Nya, makcik rasa lega kerana arwah mendapat keberkatan Ilahi," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah memaklumkan, kejadian yang meragut nyawa mangsa dipercayai langgar lari berdasarkan nombor pendaftaran dan lampu belakang motosikal mangsa pecah.

Menurutnya, setakat ini belum ada mana-mana pihak tampil membuat laporan berhubung kejadian dan beliau berharap mereka yang melihat kejadian tersebut dapat tampil membantu siasatan.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada pihak keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Chiku 1. petang kelmarin.

Sinar Harian 31 Jan 2016




0 comments:

Post a Comment