February 26, 2016

'Ibu, bila ayah nak bangun’

Nor Azizah bersama anaknya setia menunggu suaminya sedar.

TUMPAT – Hati ibu mana tidak tersentuh jika anak sering bertanya bila ayahnya akan bangun sedangkan tubuh yang terlantar itu sedang bertarung nyawa untuk pulih dari separuh sedar.

Nor Azizah Ibrahim, 32, berkata, pada Mei ini genap dua tahun suaminya, Mohd Amin Khasfi, 34, terlantar lumpuh akibat serangan angin ahmar ketika bekerja di Sarawak.

Menurutnya, sejak itu, kehidupan bahagia keluarganya bagaikan disentap apabila dia bersama dua anaknya, Nor Arissa Balqis, 7, dan Nor Awatif Sofia, 2, hilang tempat bergantung dan punca pendapatan.

“Arissa rapat sangat dengan ayahnya tapi bila terlalu lama sangat ayahnya terbaring macam itu, dia mula putus asa... 'Ayah tak bangun pun' kata dia...” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Pasir Pekan.

Hati Nor Azizah lagi tersentuh apabila melihat anak bongsunya tidak sempat merasai kasih sayang seorang ayah kerana ketika suaminya koma, dia sedang mengandung tujuh bulan anak keduanya itu.

Nor Azizah berkata, dia juga bagaikan hilang punca namun bersyukur apabila adik-beradik dan ibu mertua sentiasa  di sisi membantu dari segi kewangan dan sokongan moral.

“Mudah-mudahan ALLAH jaga hati saya untuk bersama suami walau apa jua keadaan dia sekali pun, saya dan anak-anak akan tunggu abang sedar,” katanya.

Sejak suami Nor Azizah terlantar itu, peralatan katil dan tilam khas untuk suaminya dibeli hasil kewangan daripada adik beradik.

Katanya, dia tidak bekerja dan pernah mengambil alih tugas suaminya sebagai agen pengambilan pelajar kolej swasta tetapi tidak berjaya menguruskannya kerana tiada pengalaman.

Menurut Nor Azizah, suaminya bergantung kepada susu sepenuhnya dan setiap bulan memerlukan 12 tin susu khas berharga RM65 setin dan 10 bungkus lampin pakai buang.

“Bulan lepas ada NGO hulurkan empat tin susu itu, sedikit sebanyak membantu saya, saya juga ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan, wang itu saya gunakan untuk beli lampin pakai buang,” katanya.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, suaminya menunjukkan tindak balas positif apabila boleh mengerakkan mata dan jarinya.

“Saya juga ada ikhtiar rawatan tradisional, memanggil tukang urut mengurutnya,” katanya.

Pihak yang sudi membantu boleh salur bantuan: Bank Simpanan Nasional: 0301-8410-0011-8561

Sinar Harian 25 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment