February 26, 2016

Cucu ambil upah angkut sampah bantu nenek


Muhammad Faris bersama ahli Persatuan Belia Mutiara Jaya menghulurkan bantuan kepada Johar dan tiga cucunya.

BAGAN - Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terpaksa mengambil upah mengangkut sampah dari rumah ke rumah bagi membantu meringankan beban neneknya.

Putera Haikal Mohd Syukur bersama dua lagi adiknya, Siti Amrina, 9, dan Adam Adrey, 3, tinggal bersama neneknya di Kampung Perlis, di sini selepas ibu bapa mereka berpisah.

Neneknya, Johar Sabram, 60, berkata, sebenarnya cucunya itu lima beradik, namun dua daripadanya dijaga oleh keluarga lain.

Menurutnya, biarpun mereka hidup dalam serba kekurangan, namun tiga cucunya seakan-akan memahami apa yang dilalui.

"Cucu-cucu saya juga tidak pernah meminta sesuatu di luar kemampuan saya," katanya yang sedih mengenangkan nasib cucunya.

Namun kesedihan Johar terubat selepas mendapat perhatian daripada Persatuan Belia Mutiara Jaya yang meluangkan masa menziarahi mereka.

Penasihat Persatuan Belia Mutiara Jaya, Muhammad Faris Hussain berkata, pihaknya akan cuba meneliti masalah yang dihadapi oleh keluarga terbabit.

“Setakat ini, kita memberi sumbangan berbentuk barangan makanan kepada keluarga ini dan juga zakat.

“Insya-Allah, nasib keluarga ini akan diteliti sebelum diberi bantuan sewajarnya," katanya.

Persatuan Belia Mutiara Jaya yang dipelopori anak-anak muda sememangnya aktif dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Sinar Harian 17 Disember 2015

0 comments:

Post a Comment