February 26, 2016

Pesakit diabetes rayu bantuan kerusi roda


Rogayah menunjukkan kaki kanannya yang dipotong.

POKOK SENA - Seorang pesakit kencing manis merayu kepada pihak berkenaan supaya dapat menghulurkan bantuan kerusi roda kepadanya bagi kegunaan aktiviti harian.

Rogayah Ayob, 46, berkata, dia terpaksa menggunakan kerusi roda selepas sebelah kaki kanannya terpaksa dipotong kerana menghidap diabetes.

Menurutnya, dia kini tidak mampu bergerak kerana sudah tiga kali menjalani pembedahan dan kali terakhir pada 2 Februari lalu.

“Sejak saya melakukan pembedahan pada kali pertama pada 30 September 2015 lalu, saya sudah tidak mampu lagi bekerja.

“Saya perlu guna kerusi roda untuk bergerak, namun suami (Abd Ghani Abdullah, 41,) tak mampu nak beli sebab gajinya hanya RM450 sebulan,” katanya yang juga seorang bekas penoreh getah dari Kampung Mata Air, Mukim Gajah Mati dekat sini.

Menurut Rogayah, sehingga kini dia hanya berada terlantar di katil dan tidak mampu bergerak kerana ketiadaan kerusi roda.

Bagaimanapun nasibnya agak baik kerana ibunya yang tinggal berdekatan turut membantu dalam menguruskan keperluannya selepas tidak boleh berjalan.

Tambahnya sehingga kini dia masih lagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan terpaksa menyimpan wang bagi membeli ubat.

“Saya berharap ada pihak sudi menghulurkan sumbangan kerusi roda supaya memudahkan saya bergerak ke hospital bagi menjalani perubatan dan bergerak di rumah untuk membantu aktiviti harian,” katanya.

Sinar Harian 25 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment