February 28, 2016

Datang Malaysia kena culik

Georgetown: Polis menyelamatkan dua beradik warganegara Singapura semalam, selepas diculik sekumpulan lelaki berhampiran sebuah hotel di sini, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, kejayaan itu dicapai selepas polis menahan empat lelaki tempatan berumur 26 hingga 37 tahun dalam operasi di sebuah kawasan di Tanjung Tokong, 2.30 petang semalam.

"Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan baik tanpa kecederaan dan polis menganggap kes berkenaan selesai," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Polis mengambil keterangan kedua-dua mangsa dan mereka dijangka pulang ke Singapura malam ini serta masih mengesan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.

Polis mendapat maklumat daripada polis Singapura melalui Bukit Aman mengenai kehilangan dua lelaki berusia 26 dan 27 tahun itu.

Mangsa dikatakan datang ke Pulau Pinang atas urusan perniagaan Isnin lalu, dengan bas sebelum ke sebuah hotel untuk berjumpa seseorang.

"Bagaimanapun, ketika berada di restoran berhampiran hotel itu, dua beradik itu dikatakan ditahan tiga lelaki dan dibawa ke beberapa hotel bajet sekitar negeri ini," kata Mohd Zakaria.

Semua suspek direman bermula hari ini hingga 14 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda. - BERNAMA

myMetro 26 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment