February 28, 2016

‘Mulanya saya sangka bau ikan’

Lokasi mayat ditemui di Flat Taman Aman Jaya, Bagan kelmarin.

 BAGAN - Penduduk tidak menyangka bau busuk yang pada mulanya disangka bau ikan kering dijemur rupa-rupanya bau mayat seorang lelaki dipercayai mati lebih tiga hari di Flat Taman Aman Jaya, di sini, kelmarin.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 58, berkata, dia sering terhidu bau busuk sejak tiga hingga empat hari lalu.

“Mulanya saya sangka bau ikan, atau mungkin bau sampah, tapi pelik juga, kalau bau ikan, sini rumah flat, mana mungkin ada yang jemur ikan kering.

“Baunya lebih kuat terutamanya pada waktu tengah hari dan malam, memang busuk sangat,” katanya.

Abdullah berkata, dia meminta tolong jiran untuk mencari punca bau tersebut kerana bimbang berlaku sesuatu yang buruk.

“Ketika itu kami lalu di hadapan rumah mangsa, bau cukup kuat datang dari dalam rumah tersebut. Kami kemudian segera menghubungi polis.

“Masa polis datang dan masuk ke rumah itu, baru kami tahu rupa-rupanya bau yang kami hidu selama ini datang dari mayat seorang lelaki di rumah tersebut,” katanya.

Menurut Abdullah, dia tidak mengenali rapat dengan mangsa, namun tahu yang mangsa tinggal bersama kakaknya di situ.

“Kadang-kadang tu pernah nampak dia, tapi kami jarang bertegur sapa.

“Tak sangka pula dia yang meninggal dunia, setahu saya dia bekerja sebagai pengawal keselamatan, tapi saya tak tahu di mana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komissioner Azmi Adam berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.

“Buat masa ini mangsa yang berusia lingkungan 50an dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

“Kejadian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sinar Harian 26 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment