February 26, 2016

Tiang elektrik hempap kereta baru beli

KEADAAN kereta mangsa selepas dihempap tiang elektrik.

Kangar: Kegembiraan satu keluarga menaiki Proton Wira terpakai yang baru dibeli tiga hari lalu bertukar sebaliknya apabila tiang elektrik tumbang menghempap kereta itu berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Santan, di sini, petang, semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, Anis Syahirah Abd Halim, 21, yang memandu kereta terbabit tidak sempat mengelak menyebabkan tiang elektrik itu menghempap bahagian hadapan kereta.

Anis Syahirah berkata, ketika melalui kawasan itu, dia menyedari pokok besar dalam keadaan terhuyung-hayang ditiup angin kencang, namun tidak menyangka ia tumbang dan mengheret kabel elektrik sebelum tiang itu patah menghempap keretanya.

“Saya hanya mampu melafazkan syahadah ketika kejadian. Saya tidak terfikir pokok besar itu boleh tumbang dan menyeret kabel elektrik sehingga menyebabkan tiang patah menghempap kereta kami.

“Kami sekeluarga termasuk ibu dan anak saya merancang keluar bersiar-siar dan memandu uji kereta terbabit dan tidak menyangka terjadi seperti ini namun bersyukur terselamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Sementara itu, ibunya, Juliana Hashim, 44, berkata, dia trauma dengan kejadian itu, namun bersyukur dia dan dua cucu terselamat serta tidak mengalami kecederaan serius.

“Kami gembira sejak beberapa hari yang lalu selepas berjaya memiliki kereta yang dibeli hasil wang simpanan sejak beberapa tahun.

“Ketika kejadian itu, kami empat beranak memandu uji kereta terbabit untuk membiasakan diri memandangkan ia adalah kereta terpakai walaupun sudah diperiksa suami saya yang juga seorang mekanik,” katanya.

Juliana berkata, seorang cucunya cedera di kaki dan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Meteorologi Perlis Muhammad Khalil Ab Jalil berkata, catatan tiupan angin yang direkodkan di Stesen Meteorologi Perlis di Mata Ayer, di sini, ialah selaju 10 kilometer sejam (km/j) antara jam 8 pagi hingga jam 3 petang semalam dengan beberapa keadaan luar biasa dipanggil langkisau, berlaku secara rawak dalam tempoh terbabit.

myMetro 26 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment