February 16, 2016

'Cef lalok' pondok buruk

ANTARA air ketum yang dirampas AADK.

Kuala Lumpur: Empat ‘cef lalok’ yang sedang leka memasak adunan air ketum ditahan pihak berkuasa di sebuah pondok haram yang dijadikan dapur khas memproses daun ketum di Lembah Klang.

Semua lelaki berusia 19 hingga 40 tahun itu ditahan sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di kawasan Kampung Datuk Keramat di sini, susulan maklumat berhubung kegiatan pengedaran air ketum.

Dalam serbuan jam 8 malam itu, semua lelaki tempatan itu didapati sedang membungkus air khayal yang sudah siap dimasak bersama campuran cecair ubat batuk.

Ketua Pegawai AADK Sentul Muhammad Farid Mohd Zaki berkata, risikan pihaknya mendapati pondok buruk itu dijadikan markas untuk memasak daun ketum.

Menurutnya, suspek dikesan menjadikan kawasan perumahan berhampiran selain menerima tempahan daripada penagih air ketum.

“Ada antara pelanggan datang sendiri ke pondok itu untuk membeli air rebusan ketum selain suspek dipercayai turut menyediakan khidmat menghantar air rebusan itu kepada pelanggan.

“Ketika ditahan, anggota penguat kuasa AADK turut berjaya merampas 25 bungkus air ketum yang siap diproses bersama enam botol ubat batuk,” katanya.

Beliau berkata, bungkusan air ketum itu dijual pada harga RM10 setiap satu.

Menurutnya, semua suspek yang ditahan termasuk barang kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Pihak AADK sebelum ini melakukan pemantauan selain maklumat diberikan berhubung kegiatan pengedaran cecair khayal itu.

“Kes disiasat mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, Muhammad Farid menegaskan, bahawa pihak AADK akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan pengedaran dadah di kawasan itu.

myMetro 15 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment