February 16, 2016

14 jenazah dikebumi dalam satu liang

RAKAN mangsa pemerdagangan orang warga Myanmar hadir di majlis pengebumian jenazah.

Alor Setar: Sebanyak 14 jenazah etnik Rohingya yang menjadi mangsa pemerdagangan orang dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, Pokok Sena, di sini, semalam.

Majlis pengebumian bermula jam 10 pagi membabitkan pelbagai agensi seperti Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Penyelaras Pengebumian Rohingya MAIK, Syeikh Fakrurrazi Yub berkata, kebanyakan jenazah dalam bentuk bahagian badan yang tidak sempurna ditemui di Wang Kelian, Perlis pada Mei tahun lalu, namun tidak dikenal pasti identiti mereka.

Menurutnya, ia adalah pengebumian fasa keenam dan ada baki empat beg lagi mengandungi jenazah untuk proses forensik di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

“Berdasarkan hasil bedah siasat di HSB, jenazah dikenal pasti sebagai lelaki. Namun, ia berada dalam keadaan tidak sempurna kerana mengandungi cebisan daging, tangan dan kaki yang dikumpul sebelum dimandikan lalu dikafankan untuk dikebumikan pagi ini (semalam),” katanya.

Fakrurrazi berkata, sebelum ini, 139 jenazah membabitkan 121 lelaki dan lapan wanita, manakala 10 lagi tidak dikenal pasti jantinanya dikebumikan sejak 22 Jun tahun lalu.

Katanya, beberapa warga Myanmar membantu dalam urusan pengebumian jenazah untuk penghormatan terakhir kepada rakan senegara mereka.

Warga Myanmar, Amin Ali Husin, 49, dari Alor Setar, berkata, walaupun sedih dengan kejadian menimpa mangsa, dia tidak pernah ketinggalan membantu urusan pengebumian sejak fasa pertama tahun lalu.

Katanya, dia yang 10 tahun menetap di negara ini tidak menyangka mereka yang menjadi mangsa pemerdagangan orang diperlakukan kejam ketika datang ke negara ini untuk mendapatkan perlindungan akibat masalah di negara asal.

Rakannya, Md Osman Nur Rahmat, 30-an berkata, dia sedih tidak sempat bertemu rakannya, di sini, kerana turut menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

myMetro 15 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment