February 16, 2016

Berpusing rempuh lori

KEADAAN kereta mangsa yang merempuh lori di Jalan Temerloh-Jerantut dekat FELDA Jengka 19.

Maran: Seorang pengetua sekolah dan anak lelakinya berusia 11 tahun maut selepas Perodua Kelisa dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 23.5 Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Jengka 19, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Mohd Rozi Mat Bani, 48, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat dan anak bongsunya, Adam Zikry meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Radzi berkata, ketika kejadian, mangsa menaiki Perodua Kelisa yang dipandu seorang lagi anaknya, Muhammad Afiq Zakwan, 18.

Difahamkan, tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah Bandar Tun Abdul Razak, Jengka untuk pulang ke rumah mereka di Sungai Gau, Temerloh.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai cuba memotong beberapa kenderaan lain tetapi hilang kawalan dan bertembung dengan Proton Waja dari arah bertentangan.

Menurutnya, selepas perlanggaran itu, Perodua Kelisa berpusing beberapa kali sebelum merempuh lori yang berada di belakang Proton Waja berkenaan.

“Ia mengakibatkan dua beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu Perodua Kelisa parah dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan dan menghubungi pihak berkuasa.

“Jenazah dihantar ke Hospital Jengka manakala Muhammad Afiq Zakwan yang parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Mat Rizal berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku di jalan lurus dan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Kelisa ketika memotong kenderaan.

“Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

myMetro 15 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment