February 16, 2016

Bumbung melayang

Ismail bersama Maimon mengemas pakaian dan peralatan rumah yang basah terkena hujan setelah atap rumah diterbangkan ribut.

Gelang Patah: Hujan lebat serta angin kencang selama sepuluh minit mengakibatkan bumbung kediaman empat keluarga di tingkat empat Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai, di sini, rosak teruk, petang kelmarin.

Kejadian jam 4.30 petang mengakibatkan beberapa rumah di tiga blok iaitu A, B dan C di aras empat terjejas menyebabkan bahagian utama kediaman dimasuki air.

Difahamkan insiden kali ketiga itu berlaku ketika penghuni berehat sebelum dikejutkan deruan angin kencang dan dentuman kuat di bumbung.

Suri rumah, Maimon Mohd Nor, 43, berkata, ketika kejadian dia bersama suami, Ismail Yusop, 46, serta enam anak berehat di ruang tamu rumah.

“Mulanya kami tidak sangka kejadian ini berlaku, memandangkan ia fenomena biasa yang kerap dilalui apatah lagi bumbung zink bergegar kuat.

“Bagaimanapun kami dikejutkan dengan bunyi zink terbang sebelum mendapati bumbung di balkoni, bilik utama dan ruang tamu diterbangkan angin kencang,” katanya.

Katanya, meskipun panik, namun dia bersyukur keluarganya selamat.

“Dalam masa sama, air hujan membasahi bilik dan ruang tamu serta mengakibatkan perabot serta pakaian basah,” katanya.

Dia berkata, berikutan kejadian itu, dia bersama keluarga tidur di ruang tamu manakala dua lagi anak menumpang di rumah jiran.

“Saya bimbang keadaan bumbung dan siling rumah yang mengundang bahaya kepada kami sekeluarga lebih-lebih lagi saya mempunyai anak kecil berusia lapan bulan,” katanya yang menetap di situ sejak 13 tahun lalu.

Katanya, dia takut berada di rumah ketika hujan lebat kerana kediamannya terletak di aras empat iaitu kedudukan paling atas dalam bangunan itu.

Penduduk, Aslim Md Rahani, 46, yang juga Ketua Blok A berkata, dia khuatir insiden itu berulang kerana sudah tiga kali rumahnya menjadi sasaran tiupan angin kencang.

Aslim berkata, selaku ketua penduduk, dia memanjangkan masalah itu kepada wakil rakyat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak berwajib bagi membolehkan penduduk mendapat bantuan sewajarnya.

“Dulu ada pokok kelapa sawit berhadapan perumahan ini dan sejak ia ditebang, angin kencang mula bertiup ke rumah.

“Kebiasaannya, hanya premis dan perumahan berhampiran yang terjejas, namun malang buat kami semalam apabila angin bertiup dan menerbangkan bumbung hingga peralatan rumah rosak dimasuki air,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Dr Badrul Hisham Kassim berkata, penyelenggaraan dan pembaikan bagi kediaman berhak milik strata adalah di bawah tanggungjawab Perbadanan Pengurusan (MC).

Beliau berkata, MC memperbaiki kerosakan itu menggunakan wang akaun penyelenggaraan yang dibayar pemilik rumah.

Katanya, MC boleh membuat tuntutan insurans bagi kerosakan dilindungi polisi insurans masing-masing.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai, Ismail Baharom berkata, pemeriksaan perlu dijalankan bagi menilai kos kerugian akibat kerosakan yang berlaku.

mMetro 14 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment