February 16, 2016

Cari daun kelapa sawit jumpa tengkorak

TENGKORAK manusia ditemui di dalam hutan.

Hasrat seorang lelaki warga emas mahu mengambil daun kelapa sawit untuk dijadikan makanan kambingnya terbantut apabila menemui tengkorak dan tulang manusia berselerakan di dalam hutan di Kampung Sungai Pasir, Batu 2 Jalan Kuala Ketil, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi, Md Zuki Salleh, 64, yang memasuki kawasan hutan sejauh dua kilometer dari jalan utama ternampak objek mencurigakan ketika memotong pelepah berkenaan lalu pergi untuk melihat secara lebih dekat.

Dia terkejut apabila mendapati ia tengkorak dan tulang manusia di bawah pokok kelapa sawit terbabit lalu bergegas keluar dari hutan dan menghubungi anaknya yang kemudian menghubungi pihak polis bagi memaklumkan perkara itu.

“Pada mulanya saya ingat rangka binatang, tetapi sebaik pergi dekat, memang tengkorak manusia selain beberapa tulang bersama selipar, seluar dalam serta baju turut ditemui tidak jauh dari kawasan itu,” katanya.

myMetro 14 Februari 2016



0 comments:

Post a Comment