February 19, 2016

Anak Ketua Balai Polis Sungai Lui maut terbabas

JEMPOL - Anak lelaki Ketua Polis Balai (KPB) Sungai Lui di sini maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas di jalan utama Felda Lui Timur di sini malam tadi.

Mohd. Afzanizam Mohd. Soufi, 33, yang menunggang motosikal Honda EX5 dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Jempol.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd. Noor berkata, nahas dipercayai berlaku apabila mangsa yang datang dari arah Sungai Lui cuba mengelak sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

"Ekoran itu, motosikal yang ditunggang si mati terbabas dan mangsa terjatuh di atas bahu jalan.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Jempol dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini

Jenazah anak Sarjan Mejar Mohd. Soufi Hanafiah itu dituntut keluarga dan dibawa ke Bandar Jengka, Pahang untuk dikebumikan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE

16 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment