February 19, 2016

Derita Abu Ammar


Rusnah (kiri) bersama Abu Bakar (kanan) melihat Ammar Mustaqim yang menderita kanser tulang tahap empat hingga menyebabkannya terlantar di kediaman keluarganya di Anjung Bercham Elit, Bercham, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya

Ipoh: Seorang pemuda kini menderita kanser tulang tahap empat hingga menyebabkannya terlantar dan tidak mampu bergerak apabila tangan kirinya membengkak akibat penyakit yang mula dikesan Ogos tahun lalu.

Abu Ammar Mustaqim Abu Bakar, 22, berkelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, berkata, penderitaannya itu bermula semasa dia terjatuh ketika bermain futsal April tahun lalu yang menyebabkan tangan kirinya berasa sakit terutama pada bahagian bahu.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk kira-kira empat bulan kemudian apabila bahagian bahu berkenaan mula membengkak dan semakin membesar pada hujung tahun lalu.

"Kini tangan saya sudah hampir lima bulan membengkak hingga akhirnya membuatkan saya tidak mampu lagi bergerak serta tidak dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa.

"Berat sangat...nak bangun pun tak boleh, tak tahu berapa berat tetapi yang pasti lebih berat daripada bola boling," katanya.

Abu Ammar ditemui di kediaman keluarganya di Anjung Bercham Elit, di sini hari ini ketika dilawat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Rosmahwati Ishak.

Sementara itu, bapanya Abu Bakar Ali, 52, berkata, anak sulung daripada enam adik beradik itu dimaklumkan oleh pihak pakar menghidapi sejenis kanser tulang yang jarang ditemui.

"Fizikalnya cukup lemah dan kini terpaksa memakai lampin pakai buang dan memerlukan bantuan orang lain untuk mengguruskan dirinya.

"Pelbagai usaha untuk merawat kanser berkenaan kami lakukan termasuk perubatan tradisional dan ia memerlukan kos rawatan yang tinggi," katanya.

myMetro 18 Februari 2016


Habis belajar derita datang

KEADAAN Abu Ammar yang menderita barah tulang tahap empat.

Ipoh: “Berat sangat, nak bangun pun tak boleh, tak tahu berapa berat, tetapi yang pasti lebih berat daripada bola boling,” kata Abu Ammar Mustaqim Abu Bakar, 22, yang menderita akibat barah tulang tahap empat menyebabkannya terlantar selepas tangan kirinya bengkak luar biasa yang mula dikesan Ogos tahun lalu.

Dia yang baru menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh berkata, penderitaannya bermula ketika dia terjatuh ketika bermain futsal, April tahun lalu menyebabkan tangan kirinya sakit terutama bahu.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk empat bulan kemudian apabila bahagian bahu mula bengkak dan semakin membesar pada hujung tahun lalu.

“Saya pelik apabila tangan kiri sukar dan ketat untuk masuk ke dalam lengan baju sebelum lama-kelamaan langsung tidak muat.

“Kini, tangan saya hampir lima bulan bengkak hingga akhirnya tidak mampu lagi bergerak dan tidak dapat menjalani kehidupan harian seperti biasa,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Anjung Bercham Elit, di sini, semalam.

Katanya, kehidupannya kini semakin sukar apabila mengharapkan bantuan orang lain untuk menguruskan diri selain hilang selera makan menyebabkan berat badannya turun.

Bapanya Abu Bakar Ali, 52, berkata, anak sulung daripada enam adik beradik itu dimaklumkan doktor pakar menghidap barah tulang yang jarang ditemui.

“Saya membawanya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan kemudian menjalani ujian imbasan magnetik (MRI) di Hospital Pantai di sini, sebelum ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Doktor memaklumkan penyakit barah merebak ke tepi tulang rusuk dan luar paru-paru, namun saya tetap berusaha sedaya upaya dan selebihnya berserah kepada Allah,” katanya.

Pembantu Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu berkata, dia bersama isteri Rosmah Said, 47, melakukan pelbagai usaha untuk merawat penyakit anaknya yang memerlukan RM420 setiap kali rawatan serta menyewa tangki oksigen dengan kos RM300 sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Rusnah Kassim dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Rosmahwati Ishak meluangkan masa semalam melawat Abu Ammar.

myMetro 19 Februari 2016


Graduan derita kanser tulang

IPOH – Seorang gra­duan diploma dalam bidang kejuruteraan mekanikal daripada Politeknik Ungku Omar di sini tidak menyangka hidupnya berubah dalam sekelip mata selepas menghidap kanser tulang tahap empat sejak November tahun lalu.

Abu Ammar Mustakim Abu Bakar, 22, kini hanya mampu terlantar di atas katil di rumah keluarga­nya di Anjung Bercham Elit di sini berikutan ke­adaan bahu kiri yang semakin membengkak akibat penyakit itu.

Lebih menyedihkan apabila dia terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan jika sesak nafas.

Menurut Abu Ammar Mustakim, kanser itu dihidapinya selepas dia mengalami keretakan tulang bahu kiri akibat terjatuh ketika bermain futsal pada Mei tahun lalu sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk menerima rawatan.

“Selepas itu, saya pulang ke kampung di Terengganu untuk mengurut namun pada November tahun lalu, bahu saya semakin membesar dan rasanya lebih berat berbanding sebiji bola boling.

“Tangan juga tidak boleh bergerak kerana bahagian kiri bahu hingga kaki terasa berat. Saya hanya mampu lakukan semua perkara di atas katil,” katanya ketika menerima kunjungan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Rosmahwati Ishak.

Sementara itu, bapa­nya, Abu Bakar Ali, 52, berkata, penyakit anaknya telah kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas melakukan pemeriksaan pengimejan respons magnetik di sebuah hospital swasta.

“Selepas rawatan di HKL, doktor membe­ritahu, kanser tulang anak saya tidak boleh dirawat kerana telah merebak ke bahagian tulang rusuk dan luar paru-paru,” ujarnya.

Abu Bakar berkata, dia dan isterinya, Rosmah Said, 47, telah mencuba kaedah tradisional daripada seorang tabib Cina selama seminggu dengan bayaran sebanyak RM420 bagi satu sesi rawatan.

Sementara itu, Rusnah memberitahu, kerajaan negeri akan membantu daripada segi kewangan untuk rawatan Abu Ammar Mustakim selain mengarahkan Jabatan Kesihatan negeri melihat semula kes perubatannya.

Katanya, bantuan JKM juga akan diberikan selain perkara itu akan dilaporkan ke Baitulmal untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Abu Bakar di talian 012-539 3797 atau menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB Abu Ammar Mustakim di nombor 7054652797.

Kosmo 19 Feb 2016


Abu Ammar meninggal pagi tadi

KUALA LUMPUR - Graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Ungku Omar di sini yang menghidap kanser tulang tahap empat sejak November lepas meninggal dunia awal pagi tadi.

Abu Ammar Mustaqim Abu Bakar, 22, meninggal dunia kira-kira pukul 5 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

Menurut bapanya, Abu Bakar Ali, 52, Abu Ammar dimasukkan ke hospital pukul 10 malam tadi selepas bengkak di tangan kirinya mula mengeluarkan darah serta wajahnya mula pucat.

"Apabila melihat muka dia pucat kami terus bawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pada pukul 3 pagi, dia mula tak sedarkan diri.

Namun, anak saya disahkan meninggal kira-kira pukul 5 pagi dan sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah kelihatan sangat letih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. - Bernama

19 Feb 2016


Damailah Abu Ammar di sana


Abu Ammar meninggal dunia di HRPB, 5 pagi tadi. FOTO Muhaizan Yahya

Ipoh: Baru semalam kisah Abu Ammar Mustaqim Abu Bakar, 22, yang menderita kanser tulang tahap empat hingga tangan kirinya membengkak disiarkan di laman web Harian Metro (HM) dan hari ini di akhbar HM, namun Allah SWT lebih menyayanginya apabila pemuda itu meninggal dunia pada 5 pagi tadi.

Abu Ammar meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini ketika menerima rawatan.

Menurut bapanya, Abu Bakar Ali, 52, anak sulungnya itu dimasukkan ke hospital pada 10 malam tadi selepas wajahnya kelihatan pucat.

"Apabila melihat dia pucat kami membawanya ke hospital, namun anak saya meninggal dunia 5 pagi tadi.

"Sebelum menghembuskan nafas terkahir, dia kelihatan sangat letih," katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Abu Bakar berkata, jenazah anaknya dimandi dan dikafankan di HRPB pagi tadi dan dibawa ke Kampung Bukit Setiu di Terengganu, untuk dikebumikan di sana.

"Sesiapa yang berhasrat mahu menderma bagi membantu Abu Ammar diminta tidak berbuat demikian kerana anak saya sudah pergi buat selama-lamanya," katanya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak Rosmahwati Ishak, menziarahi pemuda itu di kediaman keluarganya di Anjung Bercham Elit, di sini.

myMetro 19 Februari 2016


0 comments:

Post a Comment