February 28, 2016

3 jam terbaring dalam kereta

POLIS memeriksa mayat anggota JPJ yang ditemui meninggal dunia dalam kereta, semalam.

Seremban: Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Kuala Pilah ditemui mati dalam kereta Proton Saga miliknya di depan sebuah pasar raya di Taman Tuanku Jaafar, Senawang, di sini, malam kelmarin.

Difahamkan, mangsa Ku Abdul Rahim Ku Aziz, 47, dilihat orang awam terbaring dan tidak sedarkan diri lebih tiga jam dalam kereta yang enjinnya dihidupkan menyebabkan lelaki berkenaan menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki itu melalui jalan berkenaan kira-kira jam 6 petang dan melihat mangsa terbaring, tetapi tidak mengesyaki perkara buruk sebelum sekali lagi melalui jalan berkenaan dan melihat mangsa dalam keadaan sama.

“Curiga dengan keadaan mangsa, lelaki itu menghubungi polis jam 9.20 malam.

“Sepasukan polis bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan sebelum mendapati mangsa sudah meninggal dunia. Siasatan awal tidak menemui sebarang perlakuan jenayah di lokasi dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

myMetro 27 Februari 2016




0 comments:

Post a Comment