February 28, 2016

13 tahun tanggung derita

Mohd Rani menyampaikan sumbangan kepada Muhamed di kediamannya di Kuala Nal.

KUALA KRAI - Pesara tentera dari Kuala Nal, dekat sini, terpaksa berulang alik ke Hospital Kuala Krai (HKK) akibat kegagalan buah pinggang tahap akhir yang dihidapinya sejak 13 tahun lalu.

Muhamed Lateh, 58, perlu menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Kuala Krai pada setiap Ahad, Selasa dan Khamis dari jam 7 pagi hingga 1 petang setiap minggu.

Masalah kesihatan dihadapinya menyebabkan bekas tentera ini tidak dapat bekerja dan hanya mengharapkan sumbangan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM120, bantuan daripada anak serta beberapa bantuan lain.

Bekas anggota Unit Khas Pusat Latihan Peperangan Khas, 22 Komander, Kuala Kubu Bharu ini berkata, keadaan kesihatannya makin pulih berbanding hanya terlantar sebelum ini.

“Sekarang dah boleh bangun, duduk di kerusi roda. Sebelum ini saya hanya terbaring,” katanya ketika menerima kunjungan Yang Dipertua Veteran Tidak Berpencen Cawangan Kelantan, Mohd Rani Hussin di kediamannya.

Muhamed berkata, isterinya juga kurang sihat setelah disahkan menghidap barah payu dara pada 2011.

Menurutnya, dia dan isteri masing-masing perlu menjalani rawatan.

“Saya berulang alik ke Hospital Kuala Krai, isteri pula setiap tiga bulan perlu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang krai dan HKK,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rani berharap tentera tidak berpencen menyertai persatuan untuk manfaat mereka.

Menurutnya, ahli akan dibantu sekiranya menghadapi masalah kesihatan.

“Saya mengalu-alukan tentera tidak berpencen mendaftar sebagai ahli bagi mengurangkan bebanan bila sakit.

“Sehingga kini terdapat 3,000 ahli di seluruh Kelantan,” katanya yang turut menghulurkan sumbangan kepada Muhamed.

Sinar Harian 27 Februari 2016

0 comments:

Post a Comment