February 28, 2016

Katanya ajak kawan main bola


Johor Bahru: Kanak kanak lelaki ditemui lemas di Laman Rekreasi Tasik Pandan, di sini, petang ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, mangsa, Mohd Farizwan Mansor, 12, dikatakan ke kawasan berkenaan bersama rakannya.

"Dia mengajak rakannya mandi manda di tasik berkenaan namun rakannya enggan. Dia juga dikatakan turut membawa bola untuk bermain.

"Kami menerima panggilan pada 3.40 petang. Satu jentera daripada Balai Bomba Johor Jaya diketuai Raja Yusrin Unin bersama lapan anggota ke tempat kejadian.

"Kami tiba di lokasi pada 3.52 petang. Mangsa dijumpai oleh anggota bomba 4.14 petang. Kami cuba memberi bantuan pernafasan namun mangsa sudah tidak bernafas,” katanya.

myMetro 27 Februari 2016


Lemas: Rakan sangka mangsa bergurau

PASIR GUDANG - "Saya ingat dia main-main lepas nampak dia terkapai-kapai dalam tasik sebab dia memang suka bergurau," katanya.

Itu luahan rakan mangsa lemas, Aliff Mukzani Mohd Arof, 14, ketika menceritakan detik cemas bersama 10 lagi rakan lain sewaktu beriadah di tempat rekreasi Laman Tasik Pandan, di sini, petang tadi.

Aliff Mukzani berkata, dia bersama rakan-rakan ke kawasan itu sekitar jam 1 petang selepas mewakili Taman Ihsan Jaya menyertai Kejohanan Bola Sepak Bawah 14 tahun di padang Taman Saujana pagi tadi.

Menurutnya, mangsa, Muhammad Farizwan Mansor, 14, sebelum itu sendirian mandi sambil bermain bola di dalam tasik berkenaan, manakala rakan yang lain berada di atas darat.

"Kami dah cakap jangan mandi di tengah, tapi secara tiba-tiba bola yang dibaling Farizwan terpelanting ke tengah tasik.

"Dia berenang nak ambil bola, tapi kami nampak dia terkapai-kapai.

"Kami fikir dia main-main, tapi selepas nampak dia betul-betul tenggelam, kami berlima terjun sambil saling berpegangan tangan untuk cuba menarik Farizwan, namun tak dapat capai badan dia," katanya.

Katanya, sebahagian lagi rakan lain meminta tolong orang ramai, namun malang apabila seorang lelaki dewasa yang berada berhampiran juga tidak tahu berenang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Tahrin Saat berkata, sembilan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.40 petang.

Menurutnya, anggotanya turun ke dalam tasik berpandukan maklumat yang diberikan rakan-rakan mangsa dan menemui mangsa di dasar tasik.

"Beberapa anggota kita yang turun ke dalam tasik tersepak anggota badan mangsa lalu melakukan selaman untuk mengambil mayat mangsa di dasar tasik.

"Operasi kita tamat pada jam 4.14 petang dan mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tujuan bedah siasat," katanya.

Sinar Harian 27 Feb 2016

0 comments:

Post a Comment