January 31, 2016

Wanita Thailand mati dikelar suami

MAYAT mangsa yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah.

SEBERANG PERAI – Seorang suami bertindak kejam apabila sanggup mengelar leher isterinya dipercayai dengan pisau di kediaman mereka di Flat Taman Mesra Indah, Bagan Lalang, Seberang Perai Utara di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mayat wanita warga Thailand, Maphooh Rahongphanadom, 34, ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di hadapan kediaman mereka di aras bawah, berdekatan tempat meletak kereta.

Suspek, Lim Seng Hang, 33, warga tempatan kemudiannya bertindak menggantung dirinya pada kipas si­ling di ruang tamu rumah mereka.

Lelaki itu juga dikatakan turut membuka gas memasak di dapur rumahnya sebelum bertindak membunuh diri.

Difahamkan, suspek yang baru mendirikan rumah tangga dengan mang­sa pada Disember tahun lalu bertindak sedemikian akibat cemburu.

Kosmo 31 Jan 2016


Isteri maut ditikam suami

BAGAN - Gara-gara cemburu, seorang suami nekad menikam dan mengelar isterinya hingga mati dalam kejadian di Taman Mesra Indah, Bagan Lalang, di sini, lewat petang kelmarin.

Suspek bagaimanapun dipercayai bertindak menggantung diri selepas membunuh isterinya.

Difahamkan pasangan itu baru dua bulan mendirikan rumah tangga dan pertengkaran didakwa disebabkan masalah cemburu serta kewangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komissioner Azmi Adam berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.10 petang di hadapan kediaman di taman tersebut.

“Dalam kejadian itu, seorang wanita warga Thailand, Maphooh Rahongphanadom, 34, ditemui dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di hadapan kediaman mereka.

“Manakala suspek yang dipercayai suami mangsa, Lim Seng Hang, 33, pula ditemui tergantung pada kipas siling di bahagian ruang tamu rumah tersebut,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran di antara mangsa dan suspek selepas mangsa mendapati suspek mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM4,000 tanpa pengetahuannya.

“Suspek pula mendakwa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan kenalannya menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka.

“Pertengkaran kemudiannya berpanjangan apabila suspek menikam paha dan mengelar leher isterinya,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, kelmarin.

Katanya, ketika kejadian, kakak mangsa, Sasiwon, 37, berada di rumah tersebut dan cuba menghalang tindakan suspek namun tidak berjaya.

“Suspek kemudiannya bertindak masuk ke dalam rumah membuka gas memasak dan menggantungkan dirinya di kipas siling di ruang tamu rumah mereka,” katanya.

Azmi berkata, kakak mangsa kemudiannya melaporkan kepada pihak polis.

“Siasatan di tempat kejadian menemui sebilah pisau pemotong sayur dan sebilah pisau pemotong daging di lokasi kejadian.

“Mayat kedua pasangan suami isteri itu kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian 1 Feb 2016


0 comments:

Post a Comment