January 13, 2016

Wanita mulia terlantar sakit


Mas Imran (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Ani di Kampung Sri Paya, Batu 6, Tampoi

JOHOR BAHRU - Selama 30 tahun, wanita ini membantu masyarakat yang memerlukan tanpa mengira penat dan lelah.

Kini, beliau pula terlantar sejak lebih setahun lalu akibat menghidap barah tulang belakang.

Bekas Ketua Wanita Umno Cawangan Kampung Sri Paya selama 25 tahun, dan Ketua Umno cawangan kampung sama selama lima tahun, Rashidah Mohammad, 71, hanya mampu bergerak dengan bantuan ahli keluarga.

Menurut suaminya, Ani Mohd Arom, 74, isterinya itu turut menghidap penyakit lain iaitu diabetes, tekanan darah tinggi dan jangkitan kuman di saraf.

Jelasnya, isterinya tidak dapat menjalani rawatan kemoterapi seperti pesakit barah lain atas faktor kesihatan.

“Isteri saya juga pernah dua kali kena strok pada tahun 90-an tapi masa tu, dia tekad dapatkan rawatan dan bersemangat tinggi untuk lawan penyakit demi nak terus berkhidmat membantu masyarakat dalam kesusahan.

“Macam-macam dia buat termasuk kerja amal, gotong-royong, anjur kelas mengaji al-Quran dan bantu mangsa banjir. Tapi sekarang dia dah tak boleh bergerak aktif, selain terpaksa guna lampin pakai buang dan hanya makan bubur serta minum susu,” katanya.

Ani berkata demikian pada kunjungan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam, menyampaikan sumbangan barangan bernilai RM1,000 bersama Pengerusi Persatuan Prihatin Kempas, Salim Daud dan Ketua Kampung Pasir, Abas Said di kediamannya di Kampung Sri Paya, Batu 6, Tampoi, di sini.

Menurut Ani, keluarganya berdepan kesulitan menyediakan barangan keperluan Rashidah yang melibatkan kos RM500 setiap bulan termasuk susu tepung khas disyorkan doktor.

Jelasnya, dia sudah menjual kedai dobinya lebih lima tahun lalu dan kini tidak dapat bekerja kerana turut mengalami masalah kesihatan dan mengharapkan bantuan enam anak.

“Anak-anak kami juga bukan orang senang, sebab ada yang kerja sendiri seperti usahakan bengkel, sediakan khidmat cuci permaidani, pemandu bas dan bekerja kontrak.

“Kami juga tak mahu bebankan mereka setiap masa. Sebab itulah kami hidup sederhana dan tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Sementara itu, Salim berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan Rashidah daripada Pejabat Jabatan Kesihatan Daerah Johor Bahru.

“Kami akan rujuk maklumat Rashidah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Johor bagi tindakan sesuai,” katanya.

Sinar Harian 12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment