January 13, 2016

Pemandu teksi dipukul penumpang


Keadaan mangsa yang parah dipukul suspek. - Foto Ihsan FB INFO ROADBLOCK DI TERENGGANU

Kerusi di bahagian penumpang teksi mangsa dipenuhi kesan darah.

KUALA TERENGGANU- Seorang pemandu teksi parah di kepala akibat dipukul penumpangnya, dalam kejadian samun di kawasan Pelabuhan Chendering di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang berusia 68 tahun cedera di kepala, muka serta tangan dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Menurut sumber, suspek dipercayai menaiki teksi mangsa dan memaklumkan mahu berhenti di Pelabuhan Chendering, di sini.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, suspek dikatakan secara tiba-tiba membuka pintu lalu mengambil batu yang ada di luar sebelum memukul kepala mangsa.

“Suspek kemudian melarikan diri bersama beg duit milik mangsa. Kejadian tersebut disedari seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 36 tahun di kawasan berkenaan,” katanya, semalam.

Jelasnya lagi, pengawal keselamatan terbabit memberitahu, dia melihat teksi dipandu mangsa berhenti mengejut secara tiba-tiba, lebih kurang 50 meter dari tempat dia bertugas.

“Lelaki itu berkata dia melihat mangsa dipukul suspek dan cuba mendapatkan bantuan tetapi suspek terlebih dulu melarikan diri ke arah bukit yang berada di kawasan berhampiran,” katanya.

Menurut sumber lagi, polis dari Balai Polis Chendering yang menerima maklumat dari orang awam bergegas ke lokasi sejurus dimaklumkan dan mangsa kemudian dihantar ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan susulan.

Sumber berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan hasil siasatan awal, mangsa memaklumkan tidak tahu mengapa dia diserang kerana tidak pernah berdendam dengan sesiapa sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar yang dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sinar Harian 12 Januari 2016

0 comments:

Post a Comment